PUTRAJAYA: Tiada cuti umum khas sempena pemasyhuran Yang di-Pertuan Agong yang baharu pada 31 Januari ini.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Fahmi berkata, perkara (cuti umum khas) itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada minggu lalu dan hari ini.
“Malangnya tiada pengumuman sedemikian pada hari ini kecuali Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memikirkan ada kewajarannya.
“Tapi tidak dibincangkan malah mesyuarat Jemaah Menteri seterusnya adalah selepas majlis pemasyhuran pelantikan Yang di-Pertuan Agong yang berikutnya iaitu pada 31 Januari nanti,” katanya.
Beliau mengulas penyebaran maklumat di media sosial yang menyatakan 31 Januari akan diumumkan cuti sempena pemasyhuran pelantikan Yang di-Pertuan Agong yang baharu.
Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-263 (Khas) berlangsung di Istana Negara pada 27 Oktober lalu sebulat suara mengisytiharkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi tempoh lima tahun seperti diamalkan selama ini. – UTUSAN