Tiada calon SPM terjejas banjir  - Utusan Malaysia

Tiada calon SPM terjejas banjir 

FADHLINA Sidek menyapa seorang calon SPM yang sedang mengulang kaji pelajaran ketika turun padang melawat SMK Seri Nibong di Nibong Tebal, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

NIBONG TEBAL: Tidak ada sekolah atau pusat peperiksaan yang ditutup susulan banjir yang berlaku di beberapa negeri baru-baru ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sehubungan itu, tidak ada calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas susulan bencana tersebut.

Beliau berkata, dalam hal ini, ada calon SPM yang terlibat dengan bencana itu telah ditempatkan di asrama lebih awal.

Pada masa sama katanya, bagi yang tidak tinggal di asrama pula, ada agensi-agensi berkaitan yang membantu memastikan mereka dibawa ke sekolah atau pusat peperiksaan yang sepatutnya.

“Walaupun ada banjir, tetapi calon-calon SPM tidak terjejas dan mereka masih boleh meneruskan peperiksaan masing-masing dengan dibantu oleh semua agensi.

“Jadi, kalau ada yang terputus jalan, yang tak boleh sampai ke pusat peperiksaan pun agensi-agensi kerajaan ini membantu mereka untuk sampai ke sana (pusat peperiksaan). Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar,” katanya.

Beliau ditemui pemberita semasa mengadakan lawatan kerja ekoran gangguan bekalan air di Pulau Pinang, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong, di sini hari ini.

Selain itu, Fadhlina turut berkesempatan meninjau persiapan calon yang akan menduduki peperiksaan SPM di sekolah itu.

Peperiksaan SPM pada tahun ini bermula sejak Isnin lalu dan berakhir pada 7 Mac depan dengan melibatkan seramai 395,870 calon berdaftar.

Ia dijalankan di 3,340 buah pusat peperiksaan terpilih termasuk sekolah di seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya