KOTA KINABALU: Ada kalanya apabila hampir seminggu tiada bekalan air di kolej-kolej kediaman, pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) terpaksa mandi di tandas-tandas fakulti pengajian.
Malah, ada penuntut yang memilih untuk pulang ke rumah keluarga masing-masing sekiranya rumah mereka berada berhampiran dengan kampus UMS.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Jabatan Kebajikan Mahasiswa Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS, Muhammad Dhan Dhan Farsaudi berkata, masalah bekalan air di kampus induk UMS yang menempatkan kira-kira 7,000 pelajar itu sudah berlanjutan selama dua tahun.
Namun, keadaan bertambah buruk sejak pertengahan tahun lalu apabila kelas diadakan secara fizikal sepenuhnya. Ia menyebabkan penggunaan air meningkat.
Maka, apabila tekanan air daripada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) rendah maka, air tidak dapat dipam masuk sehingga ke tiga-tiga kolej kediaman yang terletak di kawasan berbukit.
Jika tekanan air rendah, hanya kawasan fakulti pengajian sahaja yang mendapat bekalan air kerana ia terletak di kawasan tanah rendah.
Itu sebabnya jika bekalan air langsung tidak naik ke kolej kediaman, pelajar memilih untuk mandi di tandas-tandas fakulti pengajian atau pulang ke rumah masing-masing.
Malah, sejak awal tahun sehingga 22 Januari, pihak universiti telah mengeluarkan arahan untuk mengadakan kelas secara dalam talian susulan masalah bekalan air yang semakin meruncing serta mengekang penularan kes Covid-19 yang semakin meningkat.
Berkongsi mengenai rungutan pelajar, Muhammad Dhan berkata, pelajar mengeluh kerana terpaksa mengeluarkan wang hanya untuk mandi dan mencuci pakaian.
Menurutnya, pada masa ini pihak UMS terpaksa membeli air melalui lori tangki air swasta setiap hari apabila bekalan air tidak dapat dipam masuk ke tangki utama di UMS.
Tapi sekarang difahamkan pihak JANS juga akan mula menyalurkan lori tangki air sementara menunggu kerja-kerja menyiapkan telaga tiub siap sepenuhnya.
Kerja-kerja menggerudi punca air untuk buat telaga tiub sedang dilakukan dan ia dilaksana dengan peruntukan yang diluluskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei tahun lalu. – UTUSAN