'Terima kasih Malaysia' - Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah

‘Terima kasih Malaysia’: Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selamat berangkat balik ke Pahang selepas tamat tempoh lima tahun bersemayam di Istana Negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas kesudian menerima kehadiran Seri Paduka berdua dan sokongan yang telah diberikan sepanjang tempoh pemerintahan baginda.

Seri Paduka berdua menzahirkan penghargaan dan rasa terharu atas sokongan dan kasih rakyat kepada baginda berdua. 

“Sesungguhnya, ia menjadi sumber kekuatan dan dorongan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab sebagai Ketua Utama Negara sejak 31 Januari 2019,” titah Seri Paduka yang dikeluarkan Facebook Istana Negara hari ini.

Hari ini, Al-Sultan Abdullah menamatkan pemerintahan selepas memenuhi tempoh lima tahun di atas takhta sebagai Ketua Utama Negara bermula 31 Januari 2019.

Dalam pada itu, Seri Paduka menyeru seluruh rakyat supaya menjaga perpaduan dan semangat hidup bermasyarakat serta keharmonian yang dinikmati di negara ini dengan sepenuh hati.

“Seri Paduka baginda mengajak seluruh rakyat untuk bersama Baginda berdua mendoakan agar rakyat dan negara dilimpahi keberkatan, kesejahteraan dan kemakmuran serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah.

“Semoga juga dikurniakan keafiatan, perpaduan dan keharmonian yang berpanjangan. Terima kasih, Malaysia,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa syukur kerana amanah dan tanggungjawab yang digalas, dilaksanakan dengan sepenuh kudrat keupayaan dan keikhlasan hati Baginda.

Seri Paduka bertitah, baginda berdua menamatkan tempoh pemerintahan dengan perasaan yang sedih kerana perpisahan ini namun juga dengan perasaan gembira kerana berangkat pulang untuk bersemayam di Pahang Darul Makmur, bersama dengan rakyatnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya