PETALING JAYA: Penamatkan perkhidmatan penyampai radio, Tyzo sebagai penyampai Suria Petang adalah langkah Suria FM dalam merangka strategi dan perancangan baru untuk tahun 2024.
Penjelasan itu disampaikan Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau DJ Lin dalam satu kenyataan yang dikongsikan baru-baru ini.
“Suria FM sudah merangka strategi dan perancangan baru bagi tahun 2024 dan seterusnya untuk memastikan jenama Suria FM kekal relevan dan terus memenuhi kehendak serta kepuasan pendengar.
“Perkembangan selanjutnya berkenaan program dan strategi Suria FM akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.
Tyzo, mengejutkan ramai pihak apabila mengumumkan tidak lagi bersama stesen radio terbabit berkuat kuasa, semalam.
DJ Lin dalam kenyataan sama berterima kasih kepada Tyzo atau nama sebenarnya Tuah Zolqarnain, 57, yang telah memberi sumbangan besar kepada stesen radio berkenaan dan akan terus menyokong perjalanan kariernya selepas ini.
“Jalinan kerjasama Suria FM bersama Tyzo merupakan satu tempoh kerjasama baik.
“Kami mengucapkan terima kasih di atas sumbangan beliau,” tambahnya.
Dalam pada itu, penamatan Tyzo itu telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet, lebih-lebih lagi peminat stesen radio berkenaan.
Tidak kurang juga yang berspekulasi, mengaitkan penamatan tersebut dengan pihak tertentu yang kurang senang dengan kemenangan Tyzo sebagai Penyampai Radio Popular pada Anugerah Bintang Popular tahun lalu.
Sementara itu, usaha Utusan Malaysia menghubungi DJ Lin untuk mendapatkan respons tentang perkara itu, gagal.