KUALA NERUS : Negeri Terengganu sekali lagi menjadi lokasi sukan pelayaran berprestij Terengganu Monsoon Challenge (TMC) dalam acara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Challenge 5.0 baru-baru ini di Duyong Marina Resort, Kuala Nerus.
Acara yang ditunggu-tunggu itu merupakan kemuncak kepada sukan pelayaran negeri Terengganu yang menjadi sebahagian dari kalendar sukan pelayaran Malaysia.
TMC yang dianjurkan oleh Pusat Latihan Pelayaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Majlis Sukan Negeri Terengganu (UMT ini agak unik kerana dikelolakan oleh kelab pelajar UMT iaitu UMT Sailing Club.
Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT, Prof Dr. Mohd Izani Mohd Zain, penganjuran acara tersebut merupakan sebahagian daripada program di dalam Kanvas Siswa Madani yang dilancarkan oleh pihak Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT dengan kerjasama Persatuan Pelayaran Malaysia dan Terengganu Windsurfing Sailing Association.
TMC 2023 kali ini lebih istimewa kerana disertai seramai 160 orang yang terdiri daripada peserta tempatan dan antarabangsa iaitu dari negara Thailand, Singapura dan India.
Sukan pelayaran ini terdapat 13 kategori yang dipertandingkan antaranya IPT Close, IPT Close Foundation 36 (Keel Boat), Optimist dan kategori bot Hansa untuk atlet orang kelainan upaya (Para).
Acara ini turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi ; Prof. Dr. Azlinda Azman dan Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr. Mazlan Abdul Ghaffar.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Alias Razak turut hadir menyampaikan hadiah pada majlis penutup TMC 2023. – UTUSAN