ADA banyak kugiran yang boleh saya temu bual untuk mendalami fenomena kecil comeback yang berlaku, mungkin, sejak 2022. Tres Empre, Pesawat, Joanna & Co. dan The Alif antara yang sesuai tetapi ketika itu, rasa untuk meneroka isu ini belum membuak.
Hanya apabila dijemput menonton persembahan Stonebay pada 18 Januari lalu, sensasi isu comeback dapat dirasai di seluruh tubuh.
Mungkin kerana bias minat – ia memainkan peranan, saya tak nafikan – tetapi lebih penting lagi, kerana kedudukan Stonebay sendiri dalam lapangan muzik kini dan dahulu.
Ada beberapa kugiran yang saya kelompokkan dalam liga sama seperti Stonebay, dengan penilaian yang sepenuhnya peribadi. Romancesa, The Divine Masters, Pheelers dan News At 11 — ini antara yang sekelompok.
Kugiran-kugiran ini, saya nikmati lagu-lagu mereka sejak awal remaja tetapi tak pernah berkesempatan menonton persembahan langsungnya.
Dan kugiran-kugiran ini, saya tahu persembahan langsung mereka akan buat kepala ini berkecamuk, sebab lagu mereka sedap tetapi saya tak letak harapan besar untuk mereka kembali.
Saya anggap hasrat untuk mereka kembali ialah kehendak peribadi saya yang mementingkan diri, sebab ada kemungkinan mereka akan tenggelam semula selepas kembali, melihat kepada persekitaran lapangan yang ada sekarang.
Dilema moral saya dalam mengharapkan kelompok kugiran itu kembali adalah faktor terbesar kenapa saya hadir ke Flint Coffee & Roastery, The Curve pada malam 18 Januari. Stonebay jadi mangsa untuk menjawab dilema saya.
MOTIVASI DALAMAN
Ada dua jawapan yang memberi kesimpulan tuntas pada dilema saya. Pertama, dari Ojie (vokal/gitar).
Ceritanya, ada seorang kawan yang selalu minta Stonebay berpentas dan memainkan lagu pertama yang mereka rakamkan pada 2005, Name.
Name memang bukan lagu lazim yang dibawa berpentas. Ojie simpan hasrat untuk mainkan lagu itu kepada kawannya juga akhirnya tapi mereka sudah tidak begitu aktif, maka tak banyak peluang yang tiba.
Sampai akhirnya, kawannya itu meninggal dunia. Tak sempat nak dengar Name secara langsung lagi.
Dan Ojie dapat khabar bahawa dalam bilik kawannya itu, ada tersimpan gambar arwah dengan Ojie, siap dibingkai dan disimpan rapi.
“Aku dah tak kisah nak dapat beribu peminat, dapat satu macam ini pun dah cukup,” kata Ojie, ketika saya tersentak dengar kisah yang sebegitu mengharukan.
Kedua, cerita Roni (bass). Kata dia, pada umur dan kedudukan sekarang, apa yang dibuat adalah untuk anak-anak.
Maka, untuk terus mengalirkan bakat seni adalah untuk menunjukkan sesuatu kepada anaknya sendiri.
“Kami perlu tunjuk pada anak-anak: kalau kita mulakan sesuatu, kita habiskan.
“Aku paling takut nanti anak-anak tengok, dulu ada band tapi tak ada apa (hasil). Tak ada apa nak tunjuk,” katanya.
Sekali lagi saya tersentak kerana apa yang dikatakan itu hampir sepenuhnya sama dengan motivasi seorang kawan baik saya yang masih terus bermain muzik walaupun berdepan banyak halangan. Setiap kata, hampir sepenuhnya sama. Dua jawapan itu sudah cukup menjawab dilema saya.
Akhirnya, jika kita mahu satu-satu kugiran untuk kembali, suarakan hasrat itu kerana mungkin mereka tak perlu beribu peminat hadir ke konsert atau apa-apa kejayaan komersial.
Mereka hanya perlu tahu, muzik mereka pernah menyentuh seseorang. Mereka juga perlu dorongan luaran untuk menggerakkan motivasi dalaman — untuk mencari makna hidup sendiri, memberi inspirasi kepada keluarga dan rakan-rakan.
ELEMEN BAHARU
Stonebay sudah tertubuh lama tapi single perdana mereka muncul pada 2005. Kemudian, nama mereka melonjak hasil lagu Si Murai Penipu yang dimuatkan dalam EP dengan tajuk sama pada 2009.
Perjalanan seni mereka berlangsung baik, sehingga dilamar syarikat rakaman untuk menerbitkan album bersama penerbit terkenal, Roslan Aziz. Namun, album itu tidak sempat diterbitkan walaupun banyak lagu sudah selesai dirakam.
Mereka kemudiannya semakin tidak aktif, lebih-lebih lagi apabila Roni pulang ke Jakarta, Indonesia selama beberapa tahun.
Kini Ojie, Roni dan Afiq (dram) kembali bersedia menggerakkan Stonebay, dengan bantuan Alvin Seah – pemuzik ambien yang dikenali dengan projek Angqasa – yang mengisi posisi gitar.
Kemasukan Alvin memberi warna baharu kepada Stonebay dengan elemen ambien yang kurang diteroka kugiran itu sebelum ini.
KESAN DUNIA
Satu hal tentang Ojie – melalui pengalaman beberapa jam berbual malam itu – dia kelihatan mudah terkesan dengan apa yang berlaku dalam dunia.
Mungkin sebab itu, banyak lagu Stonebay ada batas topik yang luas; bukan sekadar hal cinta pasangan atau hubungan interpersonal dengan horizon sempit.
Lagu terbaharu mereka bersama Joanna Renisa dari Joanna & Co., Selamat Datang Ke Duniaku punya mesej yang tidak begitu berat tetapi penerbitannya tetap difikir secara mendalam.
“Lagu ini dah siap lama, awalnya nak dilancarkan beberapa tahun lepas tapi waktu itu ada Covid-19, jadi macam tak sesuai.
“Sekarang pula ada peperangan di Gaza. Macam tak kena nak cakap Selamat Datang Ke Duniaku,” kata Ojie.
Walau bagaimanapun, lagu itu tetap akan dilancarkan dalam masa terdekat. Mungkin, ia boleh bawa kegembiraan pada sesiapa ketika dunia dilingkari konflik ketika ini.
Haluan Stonebay selepas ini juga, kata Ojie, akan dipengaruhi perkembangan dunia. Berkenaan situasi di Palestin juga, sudah ada lagu yang dihasilkan.
Bertajuk Dari Sungai Hingga Ke Lautan, itu antara lagu yang paling menangkap perhatian pengunjung di Flint pada 18 Januari.
KESIMPULAN MEMUASKAN
Pulang dari Flint, saya tidak lagi berfikir berat tentang dilema mengharapkan comeback kugiran kegemaran.
Stonebay datang bersama jawapan yang menenangkan. Sebab bergerak sebagai kugiran independen, dorongan utama ialah kepuasan berkarya dan mempersembahkan karya.
Bukan menolak keperluan untuk membina kekuatan kewangan melalui muzik – ia relatif, berbeza untuk setiap pengkarya – cuma dari sudut pandang kugiran, mereka mahu terus berkarya.
Dari sudut pandang pendengar, kami mahu terus menikmati karya. Jalan tengahnya ada dengan penghargaan dan kesanggupan menyokong.
Maka sebagai pendengar, kita cuba untuk terus menghargai dan menyokong, sementara pengkarya terus memerah jus kreatif.