Tawar pelaburan patuh syariah, 26 individu rugi RM2.8 juta ditipu

Ditawar pelaburan patuh syariah, 26 individu dakwa rugi RM2.8 juta ditipu

Hishamuddin Hashim (duduk, tiga dari kiri) berbincang bersama sebahagian dari 26  mangsa penipuan pelaburan membabitkan kerugian sebanyak RM2.8 juta di Sungai Besi, Kuala Lumpur. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Berselindung di sebalik konsep patuh syariah bagi mencari pelanggan untuk melabur dalam pinjaman tanpa cagaran.

Itu taktik digunakan sebuah syarikat koperasi yang beroperasi di Kota Bahru, Kelantan yang didakwa menjerat 26 mangsa terdiri pesara dan petugas kerajaan sehingga mereka kerugian RM2.8 juta kerana modal dan dividen yang dijanjikan mereka tidak diperoleh.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, modus operandi yang dilakukan oleh koperasi itu adalah dengan mencari pelanggan-pelanggan yang berminat untuk menjadi ahli koperasi dan mendapatkan pendapatan sampingan. 

Kata beliau, pelbagai bentuk pelaburan ditawarkan  kepada mangsa menggunakan nama dan syarikat sendirian berhad walhal kegiatan itu dikuasai sepenuhnya oleh ahli lembaga koperasi berkenaan. 

Beliau berkata, konsep pelaburan yang ditawarkan oleh koperasi tersebut adalah dengan memberikan pinjaman tanpa cagaran kepada syarikat-syarikat sendirian berhad yang tidak dimilikinya. 

“Syarikat sendirian berhad tersebut adalah pelaksana 10 jenis skim pelaburan yang ditawarkan bagi mengaburkan mata dan mengelirukan mangsa-mangsa.

“Wakil atau ejen yang dilantik mereka kemudian akan memberikan representasi dan penerangan lanjut kepada para pelanggan yang berminat walhal  tawaran itu hanya di atas kertas sahaja,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kata beliau, aduan yang diterima pihak MHO mendapati, pelabur mendakwa tidak pernah melihat atau dikemukan rekod dan produk-produk pelaburan yang ditawarkan koperasi itu.

“Tawaran-tawaran program langganan saham juga dikatakan tidak sah dari segi undang-undang kerana syarikat-syarikat tersebut gagal dan tidak mematuhi kepada undang-undang yang telah diperuntukkan oleh Kerajaan Malaysia untuk mengawal selia syarikat-syarikat pelaburan di Malaysia. 

“Program skim pelaburan yang ditawarkan oleh syarikat tersebut juga adalah satu janji yang tidak munasabah,” ujarnya.

Kata beliau, mangsa-mangsa didakwa tidak menerima bayaran dividen sepertimana yang telah dijanjikan oleh pihak syarikat tersebut. 

“Tindakan ini adalah tidak adil dan melampau kerana mangsa-mangsa telah menggunakan wang-wang simpanan mereka untuk melabur dengan koperasi ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Hishamuddin menggesa pihak berkuasa terutama Polis Diraja Malaysia dan agensi terlibat  menjalankan siasatan ke atas syarikat tersebut yang sewenang-wenangnya menggunakan wang-wang pelaburan yang diterima.

“Ramai mangsa mendakwa mereka telah membuat laporan polis tetapi pegawai penyiasat mengklasifikasikan kes mereka sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) dan rujuk agensi lain (ROA) atas alasan mempunyai perjanjian dan mangsa-mangsa telah menerima sebahagian dividen mereka.

“Ini tidak adil kepada mereka, kerana kita dapati kes ini mempunyai elemen penipuan dan pecah amanah,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya