ALOR SETAR: Syarikat Air Darul Aman (SADA) memberi jaminan pelarasan tarif baharu air di negeri ini bermula 1 Februari tidak akan membebankan pengguna domestik.
Syarikat utiliti itu dalam kenyataan berkata, sebagai contoh kenaikan caj yang dikenakan hanyalah RM1.50 sahaja bagi penggunaan air 10 meter padu dan ke bawah.
Katanya, tarif baharu itu ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melalui kajian Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) yang mengambil kira kos perbelanjaan operasi (OPEX) dan kos perbelanjaan modal (CAPEX) syarikat.
“Pelarasan kadar tarif ini perlu dilaksanakan bagi menjamin kelestarian perkhidmatan dan bukan bersifat keuntungan. Sumber kewangan yang kukuh dan mencukupi membolehkan SADA membangunkan projek infrastruktur air yang mampan, sekali gus menambahbaik liputan bekalan air di seluruh Kedah.
“Dana tambahan yang diperoleh daripada pelarasan kadar tarif ini akan dilaburkan semula oleh SADA untuk kos CAPEX yang telah dirancang bagi memastikan kesinambungan bekalan dan perkhidmatan serta memenuhi permintaan bekalan air yang terus meningkat saban tahun,” katanya di sini, hari ini.
SADA memaklumkan, kadar tarif baharu itu akan dicaj kepada pengguna kategori terbabit mulai bil Mac tahun ini.
Sementara itu, SADA masih melaksanakan program subsidi air bersasar kepada pengguna yang berada dalam kategori miskin tegar dan berdaftar dengan sistem e-Kasih kerana memahami kesempitan ekonomi yang ditanggung sebahagian pengguna.
Tambah syarikat itu, pelarasan kadar tarif itu juga akan dipastikan selari dengan peningkatan aspek mutu perkhidmatan yang memberi manfaat berterusan kepada pengguna.
“Pada 2024, SADA memperuntukkan RM60.91 juta untuk perbelanjaan OPEX dan CAPEX bagi tujuan pembangunan serta pengukuhan aset air.
“Kita memberi tumpuan kepada pembinaan infrastruktur baharu, penyelenggaraan aset mekanikal dan elektrikal serta penggantian sistem perpaipan yang telah uzur dan usang,” katanya.