Tarif air naik 22 sen 1 Februari depan

Tarif air naik 22 sen mulai 1 Februari

air
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tarif air baharu akan dilaksanakan terhadap pengguna domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan mulai 1 Februari depan membabitkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berkata, pelarasan tarif air itu dilaksanakan mengikut Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) bagi pengguna kategori domestik.

Menurutnya, di bawah TSM struktur dan komponen tarif akan diseragamkan untuk negeri-negeri di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan manakala tarif air akan dikaji semula setiap tiga tahun untuk memastikan keselarasan dalam penentuan bayaran.

“Pelarasan tarif air bagi kategori domestik tidak lagi boleh ditangguhkan agar tidak menjejaskan kemapanan industri perkhidmatan air dalam jangka masa panjang sekali gus memberi impak kepada kualiti perkhidmatan bekalan air yang dinikmati oleh rakyat.

“Justeru, pelarasan tarif air yang mencerminkan kos bekalan air sangat penting bagi membolehkan operator air meningkatkan tahap perkhidmatan dalam membekalkan air yang berkualiti secara berterusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut SPAN, melalui semakan tarif tersebut, operator air lebih bersedia untuk membuat pelaburan berterusan bagi membangunkan infrastruktur sistem bekalan air.

“Antara lain untuk membina atau menaik taraf loji rawatan air, membuat penggantian paip usang, melaksanakan penyenggaraan secara berkala dan menangani aduan dengan lebih cekap demi menjamin kelangsungan perkhidmatan bekalan air dan sekali gus memenuhi ekspektasi pengguna,” katanya.

Bagaimanapun, menurut agensi itu, kenaikan sebanyak 22 sen yang dilaksanakan masih rendah dan tidak dapat menampung kos sebenar penyediaan perkhidmatan bekalan air sebanyak RM1.75 bagi setiap meter padu berdasarkan rekod sebenar tahun 2022.

“Walau bagaimanapun, bagi meminimumkan impak kenaikan ke atas bil air bulanan rakyat, operator bekalan air di negeri masing-masing disaran untuk meneruskan inisiatif sedia ada iaitu memberikan bantuan kepada pengguna domestik secara bersasar seperti pemberian rebat kepada golongan B40,” katanya.

Dalam pada itu, SPAN juga menyeru supaya pengguna untuk bersama-sama mengamalkan penggunaan air secara berhemat dengan mengambil beberapa lankah seperti menggunakan produk cekap air di bawah Skim Pelabelan Produk Cekap Air oleh SPAN.

“Memeriksa dan membaiki sebarang kebocoran paip dan pili air di premis masing-masing dan memasang sistem penuaian air hujan dan penggunaan air kitar semula sebagai sumber air alternatif untuk kegunaan bukan minuman,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya