KUALA TERENGGANU: Tarif air di Terengganu perlu diselaraskan semula bagi mengelakkan operator air iaitu Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) berdepan dengan kedudukan kewangan yang lemah.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, penyelarasan tarif itu penting dilaksanakan kerana SATU kini berdepan peningkatan kos operasi, pemprosesan dan perbekalan air terawat yang sentiasa naik setiap tahun.
Menurutnya, langkah itu adalah wajar kerana sejak SATU ditubuhkan, tiada permohonan kadar tarif baharu pernah dibuat kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mahupun kementerian berkaitan.
“Selepas dikorporatkan pada tahun 1999, SATU tidak pernah membuat semakan atau menaikkan kadar tarif air bagi pengguna domestik.
“Ini bermaksud kadar tarif domestik tidak pernah berubah sejak 26 tahun yang lalu (1997-2023).
“Justeru, SATU berhasrat untuk mengemukakan permohonan pelarasan kadar tarif yang holistik untuk menampung peningkatan kos operasi dan kos pembangunan modal yang tinggi bagi memastikan keselesaan pengguna dapat ditambahbaik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Ketika ini, kadar tarif semasa bagi pengguna domestik adalah RM0.42 untuk 20 meter padu pertama diikuti RM0.65 untuk 20 hingga 40 meter padu seterusnya, RM0.90 untuk 40 hingga 60 meter padu dan RM1 untuk 60 meter padu ke atas.
Mengulas lanjut, beliau berkata,
SATU membelanjakan sebanyak RM180 juta setahun bagi kos operasi untuk mengabstrak, memproses serta membekalkan air terawat kepada pengguna di Terengganu.
“Ini termasuklah kerja-kerja penyelenggaraan yang membabitkan pembaikan paip pecah dan bocor serta kerja-kerja menaiktaraf sistem bekalan air,” katanya.
Setakat ini, Terengganu masih lagi di antara negeri yang mempunyai kadar tarif bagi domestik yang terendah berbanding dengan negeri-negeri lain.
“Pelarasan kadar tarif domestik ini juga masih belum mampu untuk menampung kos operasi yang ditanggung oleh SATU,” katanya.
Setakat November 2023 lalu, sebanyak 341,546 akaun berdaftar dengan SATU iaitu 83 peratus adalah pengguna kategori domestik dan selebihnya adalah bukan domestik. – UTUSAN