KANGAR: Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli memaklumkan tidak tahu mengenai ‘Langkah Dubai’ sebaliknya fokus beliau terhadap pentabdiran negeri dan rakyat di Perlis.
Katanya, tumpuan beliau ketika ini hanya kepada rakyat di negeri ini dan tidak mengetahui mengenai sebarang usaha mengambil alih pentadbiran negara itu.
“Taktau pasal langkah ini (Langkah Dubai), tumpu negeri dan rakyat Perlis,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai ‘Langkah Dubai’ yang didakwa dirancang untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perikatan Nasional (PN) sebelum ini mendakwa sudah mempunyai jumlah sokongan Ahli Parlimen yang mencukupi bagi membolehkan gabungan itu mengambil alih pentadbiran negara.
Malah, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memaklumkan jumlah akuan bersumpah (SD) sudah cukup dan tunggu masa hendak ambil alih kerajaan.
Dalam pada itu, diminta mengulas mengenai kadar pendaftaran rakyat negeri ini dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang masih rendah, Mohd. Shukri berkata, kebanyakkan mereka berkemungkinan masih belum memahami fungsi PADU tersebut.
Justeru katanya, kerajaan perlu memberi penerangan secara lebih terperinci lagi berkaitan sistem berkenaan kepada rakyat.
“Malah, agensi-agensi kerajaan perlu turun padang dalam memberi penerangan lebih terperinci kepada rakyat khususnya di peringkat kampung-kampung dan terhadap warga emas.
“Kita juga bersedia mengerakkan Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) bagi penerangan namun pada masa ini, biar agensi-agensi turun dahulu,” katanya.
Berdasarkan kemas kini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), rakyat Selangor menjadi negeri tertinggi yang mendaftar di sistem PADU iaitu seramai 182,943 orang manakala tiga terendah adalah Perlis (7,003); Putrajaya (4,262) dan Labuan (1,849).-UTUSAN