ALOR SETAR: Juara edisi ke-56 Kejohanan Sepak Takraw Piala Emas Khir Johari, Johor terpaksa berputih mata apabila tersingkir pada peringkat suku akhir kejohanan itu tahun ini.
Pasukan dari Selatan itu tewas 1-2 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sekali gus ATM Guardians turut berjaya melunas dendam aksi final yang mempertemukan kedua-dua pasukan di Stadium Titiwangsa, sebelum ini.
ATM bermula garang apabila Regu A mereka mendahului kedudukan dengan kiraan mata 21-18, 15-21, 21-8 sebelum pasukan bawah 21 tahun Johor bangkit pada Regu B dengan keputusan 21-19, 14-21, 25-24.
Kemenangan mutlak terpaksa ditentukan oleh Regu C sebelum keputusan memihak kepada ATM 21-14, 12-21, 21-17 bagi menjadikan kedudukan 2-1.
Sementara itu, pasukan tuan rumah, Kedah yang turun bertemu Kuala Lumpur turut kalah 1-2 setelah Regu A pasukan ibu kota itu menang 21-12, 22-20.
Regu B Kedah cuba bangkit apabila menang dua daripada tiga set dengan kiraan mata 21-18, 9-21, 21-19 namun Regu C Kuala Lumpur mudah merampas kedudukan apabila menang 21-14, 21-15.
Pentas separuh akhir yang menampilkan empat pasukan terbaik hari ini menyaksikan Pulau Pinang akan bertemu Kuala Lumpur pada pukul 3.30 petang di Stadium Sultan Abdul Halim.
Pasukan pilihan, Melaka yang diperkuatkan enam tonggak kebangsaan pula akan menentang ATM yang juga juara 12 kali Piala Emas Khir Johari pada pukul 8 malam ini. -UTUSAN