PETALING JAYA: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memetik kata-kata Hang Tuah ‘takkan Melayu hilang di dunia’ untuk mematahkan hujah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memberi amaran kononnya orang Melayu akan hilang 10 tahun lagi.
Beliau berkata, doktrin ‘Melayu akan hilang’ jika kuasa politik tidak dimonopoli oleh beberapa kerat elit Melayu seperti dibawa Dr. Mahathir hanya boleh diterima dalam kancah politik pada era 70-an.
Katanya, doktrin itu wujud disebabkan beberapa pihak kerap mempersoal penguasaan orang Melayu dalam bidang ekonomi dengan membawakan naratif sama ada peluang disediakan kerajaan mencukupi atau sebaliknya.
“Contohnya, orang Melayu kini membentuk kelas pertengahan yang besar dalam negara kita berbanding 50 tahun dahulu. Orang Melayu juga membentuk kelas profesional yang besar.
“Kejayaan membina kelas pertengahan dan kelas profesional yang besar ini adalah bukti orang Melayu berkemampuan menaiki mobiliti sosial melalui pelaburan kerajaan dalam pendidikan,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pandan itu berkata, Dr. Mahathir menyamakan kuasa politik sebagai lubuk harta yang boleh digunakan untuk memberi keistimewaan ekonomi kepada beberapa kerat orang Melayu terpilih, atas alasan mengatasi jurang ekonomi antara kaum.
“Jika saya menjadi ahli politik dalam tahun 70-an atau awal 80-an, saya mungkin bersifat terbuka dengan doktrin itu, kerana ia mungkin berupaya melahirkan hartawan Melayu yang membawa syarikat Melayu ke persada antarabangsa.
“Mungkin kita ada syarikat-syarikat besar sepertimana Samsung, LG, Hyundai dan seumpamanya mengubah ekonomi Korea Selatan, namun kita telah melalui zaman itu.
“Tun Mahathir telah pun melaksanakan ideanya untuk melahirkan beberapa hartawan ternama dalam kalangan niagawan Melayu dengan campur tangan kerajaan. Eksperimen itu tidak berjaya selepas diuji dengan krisis kewangan Asia Timur tahun 1997 dan 1998,” katanya.
Mengulas lanjut, Timbalan Presiden PKR itu berkata, kesan sampingan daripada doktrin mencampur aduk kuasa politik dan korporat yang dibawa oleh Dr. Mahathir menyebabkan mereka yang terpilih peru menyumbangkan wang bagi membantu ahli dan parti politik tertentu.
Katanya lagi, beliau berpendapat bahawa Malaysia sudah pun melalui senario itu hasil daripada doktrin kuasa politik dan korporat tersebut maka cabaran orang Melayu dalam bidang ekonomi, masa kini adalah untuk kembali ke landasan asal yang digagaskan dalam 15 tahun pertama selepas merdeka.
“Bagaimana melonjakkan kelas menengah Melayu dari kumpulan yang makan gaji kepada kelas yang mencipta kekayaan dengan mengusahakan perniagaan yang berdaya saing dan mengambil risiko? Sekiranya model kejayaan kelas menengah Melayu ialah makan gaji dengan syarikat korporat besar (walaupun berkelayakan tinggi), sampai bila-bila mereka tidak menguasai bidang ekonomi setanding dengan kaum lain.
“Penciptaan kekayaan oleh kelas menengah Melayu mestilah berpaksikan daya saing dan keupayaan membangunkan perniagaan (produk dan perkhidmatan) yang mampan. Tidak ada istilah Orang Kaya Baru, atau Orang Cepat Kaya. Jalan pintas untuk menjadi kaya sepatutnya tiada dalam istilah pengupayaan ekonomi orang Melayu,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, minda orang Melayu harus dipersiap berhubung ancaman kepada ekonomi orang Melayu bukanlah kaum lain di negara ini sebaliknya keterhubungan ekonomi akibat globalisasi.
Menurutnya, pesaing sebenar ialah produk dan perkhidmatan dari serantau dan luar negara yang memasuki pasaran kita kerana lebih murah atau lebih berteknologi tinggi.
“Faktor skala operasi dan capaian pasaran dunia menjadi faktor penentu kemampanan sesebuah perniagaan, termasuklah syarikat-syarikat berkaitan kerajaan yang banyak diterajui oleh kelas menengah Melayu,” katanya. – UTUSAN