LOS ANGELES: Bintang Aquaman, Jason Momoa, 44, memaklumkan dia pada masa sekarang tidak memiliki tempat tinggal dan hidup berpindah randah dari satu kawasan ke kawasan lain.
Bercakap kepada ET, Momoa, atau nama sebenarnya Joseph Jason Namakaeha Momoa berkata, dia selesa dengan gaya hidup sedemikian lebih-lebih lagi dengan jenis pekerjaannya yang memerlukan dia untuk kerap merantau dari satu tempat ke tempat yang lain.
“Saya tidak memiliki tempat tinggal sekarang ini, selalu berpindah randah. Selepas ini saya akan ke New Zealand pula untuk memulakan penggambaran filem Minecraft. Saya harap peminat menyukainya.
“Anda akan temui saya di tempat-tempat yang aneh, dari satu kawasan ke kawasan lain. Ada yang hairan, apa saya buat di kampung mereka.
“Saya suka menghabiskan masa bersama orang awam, melakukan perkara yang saya suka iaitu membuat filem dan kemudian tunjukkan kepada mereka,” katanya.
Momoa bakal membintangi Minecraft disamping Pedro Pascal, Emma Myers, Matt Berry, Danielle Brooks dan ramai lagi. Filem tersebut dijangka menemui peminat sekitar tahun depan.
Pelakon tersebut sekarang ini sibuk mempromosikan dokumentari bersirinya, On The Roam yang akan ditayangkan di platform Max bermula 18 Januari ini.