Taiping perintis Bandar Mesra Usia

Taiping perintis Bandar Mesra Usia

TAMAN Tasik Taiping antara tumpuan ramai untuk aktiviti riadah dan rekreasi yang sesuai untuk peringkat usia di Taiping yang dipilih sebagai bandar perintis bagi program Bandar Mesra Usia. – UTUSAN//MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Taiping wajar menjadi contoh kepada program Bandar Mesra Usia kerana menawarkan kemudahan riadah dan rekreasi untuk warganya dalam mempromosikan gaya hidup sihat.

Taman Tasik Taiping, Bukit Larut dan Zoo Tai­ping dan Night Safari di sini antara tumpuan masyarakat beriadah sambil me­nikmati panorama alam semulajadinya yang indah.

Bagi warga Taiping, mereka menyambut baik program Tai­ping Bandar Mesra Usia di bawah pelan Perak Sejahtera 2030 yang mengandungi lapan teras me­rangkumi aspek perumahan, pengangkutan, penyertaan sosial, penyertaan sivik dan pekerjaan, komunikasi dan maklumat, sokongan masyarakat dan perkhidmatan kesihatan, ruang luar dan bangunan.

Seorang warga Taiping, Mohd. Ebieaizal Abdullah, 31, berkata, penduduk di bandar ini bangga apabila Taiping dipilih sebagai bandar pertama di negara ini yang melaksanakan fasa pertama projek rintis Bandar Mesra Usia, yang sudah bermula pada tahun 2019.

Menurutnya, ini sekaligus membolehkan Taiping maju selangkah di hadapan dan menjadi contoh kepada bandar-bandar yang lain di negara ini dalam mempromosikan gaya hidup sihat.

“Di sekitar bandar Taiping disediakan pelbagai kemudahan riadah dan rekreasi yang mesra kanak-kanak, warga emas dan golongan orang kurang upaya (OKU).

“Dengan pelbagai fasiliti yang dibangunkan oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad melalui Majlis Perbandaran Taiping (MPT), serta pemuliharaan alam semulajadi di sini, ia menarik golongan pelabur untuk melabur dan juga golongan pesara untuk menetap di bandar ini.

“Saya melihat pembangunan semakin pesat di bandar ini namun pada masa yang sama, keindahan panorama alam semulajadinya dikekalkan dan fasiliti bersesuaian untuk kegunaan pelbagai peringkat usia semakin banyak yang ditambah,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MPT, Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, projek perintis Taiping Bandar Mesra Usia mendapat suntikan dana daripada Tabung Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) yang dilaksanakan pada tahun 2019.

Menurutnya, antara usaha ke arah menjadikan Taiping Bandar Mesra Usia termasuk pemuliharaan dan baik pulih Pasar Besar Taiping, Pembangunan Taman Tasik Kamunting dan Taman Tasik Diraja Taiping.

“Selain itu, fokus terhadap perkhidmatan kesihatan merupakan satu aspek penting yang merangkumi pelbagai inisiatif dan kemudahan untuk keperluan kesihatan penduduk di bandar ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN