KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) kini dalam proses akhir untuk memuktamadkan senarai jemaah haji bagi musim 1445H/2024.
Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, surat tawaran haji akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
“Kita masih dalam proses terakhir. Kita akan umumkan bila sudah keluar surat tawaran,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pelancaran Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan 2024, di sini hari ini.
Ketika diminta mengulas mengenai kenaikan kos, Syed Saleh berkata, kos haji meningkat setiap tahun disebabkan oleh kerana pelbagai aspek.
Menurutnya ia terutamanya dipengaruhi inflasi, cukai nilai tambah (VAT), pergerakan mata awang asing antara ringgit Malaysia dengan saudi riyal dan dolar Amerika Syarikat.
“Ini semua isu-isu yang akan mempunyai impak kepada kos haji yang di luar kawalan Tabung Haji.
“Insya-Allah akan ada impak kepada kos haji, kepada bayaran haji belum dimumkan lagi,” katanya.
Untuk rekod, bayaran haji bagi musim haji 1444H/2023 untuk jemaah haji Muassasah berjumlah RM10,980 bagi golongan B40; RM15,980 (M40) dan RM30,850 (T20). – UTUSAN