Suspek lari daripada polis ditemukan lemas - Utusan Malaysia

Suspek lari daripada polis ditemukan lemas

ANGGOTA polis mengusung mayat salah seorang suspek yang ditemukan lemas di Pantai Teluk Lipat, Dungun, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Seorang daripada dua suspek yang bertindak terjun ke Sungai Dungun untuk melarikan diri selepas lori dinaiki mereka dikejar polis di Kampung Pulau Serai di sini pada Khamis lalu ditemukan lemas, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, mayat suspek yang berusia 30 tahun itu ditemukan di Pantai Teluk Lipat oleh pengunjung pantai tersebut kira-kira pukul 6.38 petang.

“Mayat suspek ditemukan terdampar di pantai itu, iaitu kira-kira tujuh kilometer dari lokasi dia terjun.

“Kita sahkan mayat yang ditemukan itu adalah suspek berdasarkan pakaian yang dipakai ketika cubaan meloloskan diri dan kakak suspek juga telah membuat pengecaman,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Maizura berkata, mayat suspek telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, usaha memburu seorang lagi suspek yang berusa 34 tahun, sedang giat dilakukan.

“Kita minta kerjasama penduduk supaya segera menghubungi kami jika terlihat individu yang mencurigakan,”katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi kelmarin, tiga suspek yang menaiki lori jenis Isuzu bertindak melarikan diri sebelum dikejar anggota polis kira-kira 100 kilometer.

Bagaimanapun, seorang daripada suspek berjaya ditahan manakala dua lagi suspek bertindak terjun ke dalam sungai selepas pihak polis berjaya memintas kenderaan mereka pada pukul 6.55 pagi berhampiran Kampung Pulau Serai.

Pemeriksaan polis menemui kabel milik Syarikat Telekom Malaysia sepanjang kira-kira 44.2 meter di belakang lori tersebut yang dipercayai dicuri suspek. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya