IPOH: Lelaki yang ditangkap bagi membantu siasatan kes kebakaran di garaj kediaman Datuk Ngeh Koo Ham di Taman Semarak Jaya di Ayer Tawar Rabu lalu, bukan individu yang dikenali oleh Ahli Parlimen Beruas itu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia lingkungan 30-an itu juga bukanlah individu terdekat dengan Koo Ham atau pernah bekerja dengannya.
“Berdasarkan siasatan, lelaki berkenaan bekerja di platform e-dagang dan dia bukan berasal dari Perak.
“Setakat ini, kita masih menjalankan siasatan daripada pelbagai aspek bagi mengenal pasti motif lelaki itu bertindak demikian sama ada disebabkan kenyataan sensitif Koo Ham sebelum ini atau ada punca-punca lain,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, seorang lelaki ditahan di Shah Alam sekitar pukul 4 pagi bagi membantu siasatan kes khianat yang menyebabkan kebakaran kereta dan sebahagian rumah Datuk Ngeh Koo Ham.
Dalam tangkapan itu, polis turut merampas dua telefon bimbit daripada lelaki tersebut. Lelaki yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah itu direman selama lima hari sehingga Selasa depan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi Rabu lalu, sebuah kereta Mercedes Benz E300 terbakar 80 peratus manakala Honda CRV dan Toyota Hilux masing-masing mengalami lima peratus kebakaran.
Turut terbakar dalam kejadian itu ialah siling dan bumbung garaj kediaman milik ahli Parlimen daripada DAP itu. – UTUSAN