PETALING JAYA: Polis mengesahkan tiada sebarang kejadian liwat dan kecederaan fizikal melibatkan kes dua beradik dipercayai dikurung dalam sebuah hotel di Jalan Sultan di sini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, hasil soal siasat mendapati suspek telah melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dengan cara mencabul mangsa.
Bagaimanapun, hasil pemeriksaan hospital mengesahkan tiada kecederaan fizikal dan tiada
kejadian liwat berlaku.
“Pada 12 Januari pada 2.48 pagi, kita menerima laporan dari seorang remaja berusia 16 tahun mendakwa dicabul dan diliwat seorang lelaki di sebuah hotel.
“Hasil siasatan, mangsa telah tinggal bersama suspek selama 10 hari di hotel tersebut.
“Susulan itu, suspek ditahan serta direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kertas siasatan telah dirujuk kepada pihak pendakwaan dan suspek akan dituduh esok di bawah Seksyen 14 (a) Akta
Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Terdahulu, polis mengesahkan seorang lagi remaja daripada dua beradik ditemukan selamat hari ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim dilaporkan berkata, remaja berusia 15 tahun itu didapati tinggal seorang diri di sebuah hotel terbiar di Pasar Seni dekat sini.
Beliau dilaporkan berkata, remaja itu dibawa oleh seorang lelaki ke Balai Polis Hulu Bernam pada jam 10.48 pagi.
Katanya, siasatan mendapati remaja itu dipercayai telah tinggal dengan seorang warga tempatan di sebuah hotel di Jalan Petaling, Kuala Lumpur selama sembilan hari sebelum melarikan diri.
“Remaja itu kemudian tinggal seorang diri di hotel terbiar berhampiran Pasar Seni, Kuala Lumpur selama enam hari.
“Pada 15 Januari lalu, remaja itu telah meminta bantuan daripada seorang lelaki yang juga gelandangan berusia 28 tahun sebelum menghantarnya ke Balai Polis Hulu Bernam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, semakan mendapati remaja itu ialah salah seorang individu yang dilaporkan hilang bersangkut Ulu Bernam Repot 6/2024.
Terdahulu, media melaporkan seorang daripada dua beradik lelaki yang dilaporkan hilang pada 1 Januari lalu mendakwa dikurung dalam sebuah motel di Jalan Petaling, Kuala Lumpur oleh individu tidak dikenali.
Malah, remaja berusia 16 tahun yang berjaya melarikan diri itu mendakwa selama dikurung bersama adiknya selain diperlakukan tidak baik sebelum dipisahkan pada 9 Januari lalu.- UTUSAN