KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencampak anak kucing hingga mati dari tingkat satu sebuah flat di Cheras, pada pagi Krismas lalu.
Nina Norhaslinda Mazlan, 44, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Norina Zainol Abidin.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa secara tidak munasabah mencampak seekor kucing dari tingkat satu sehingga menyebabkan penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap haiwan itu.
Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di koridor tingkat satu di hadapan sebuah unit di di Flat Sri Sabah, Cheras, pada 7.35 pagi, 25 Disember 2023.
Oleh itu dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 29(1)(c) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang boleh dihukum di bawah seksyen 29(1) akta sama.
Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kuala Lumpur, Fadzilah Abdul Karim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam prosiding hari ini, Fadzilah memohon jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan.
Bagaimanapun, Nina yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan kerana dia hanya seorang suri rumah dan tidak mempunyai pendapatan.
Norina membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta tiada syarat tambahan dan 6 Februari ditetapkan untuk sebutan kes bagi lantikan peguam. –UTUSAN