Sulu: Dunia perlu bekerjasama lihat kelemahan undang-undang 

Sulu: Dunia perlu bekerjasama lihat kelemahan undang-undang 

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dunia perlu bekerjasama dengan menjadikan kes tuntutan Sulu untuk melihat kelemahan undang-undang dan penyalahgunaan proses timbang tara oleh sesetengah pihak tidak bertanggungjawab.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu penting bagi mengelakkan kes sama berulang kepada mana-mana negara di dunia.

“Banyak negara mengikuti rapat (kes) tuntutan Sulu dan cara pengendalian kita (Malaysia) berdepan dengan kes ini.

“Saya telah berkongsi dengan hadirin tadi mengenai kronologi isu tuntutan Sulu dan perkembangan dari Madrid baru-baru ini di mana penimbang tara yang terlibat dalam angkara ini, Gonzalo Stampa, telah pun dihukum penjara.

“Negara-negara seluruh dunia perlu bekerjasama melihat kepada kelemahan undang-undang dan penyalahgunaan proses timbang tara hasil daripada kes tuntutan Sulu. Ini penting bagi mengelakkan berulangnya isu seperti ini di mana-mana negara,” katanya menerusi catatan di Facebook miliknya hari ini.

Ahli Parlimen Pengerang itu berharap perbincangan tersebut menjadi pemula kepada kerjasama dan terbentuknya kumpulan kerja antara negara-negara anggota Kesatuan Eropah (EU) dan Malaysia.

“Antara lain ia bagi melihat kepada isu-isu timbang tara antarabangsa, termasuk pembiayaan daripada pihak ketiga, selain amalan terbaik dan kod etika penimbang tara.

“Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berkompromi dan akan mempertahan negara daripada apa jua ancaman. Jangan sesekali cabar kedaulatan Malaysia,” katanya.

Pada 8 Januari lalu, penimbang tara, Gonzalo Stampa yang terbabit dalam tuntutan waris Kesultanan Sulu telah didapati bersalah oleh Mahkamah Madrid, Sepanyol di atas pertuduhan menghina mahkamah.

Mahkamah memutuskan Stampa dihukum penjara enam bulan dan dilarang untuk mengamalkan tugas sebagai penimbang tara untuk tempoh setahun.

Pada 11 Disember 2023, Stampa selaku penimbang tara yang bertanggungjawab menganugerahkan pampasan sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia kepada waris Kesultanan Sulu, dituduh di Mahkamah Madrid atas dakwaan jenayah.

Dia menghadapi tuduhan jenayah menghina mahkamah yang serius serta amalan profesion tanpa kelayakan.

Terdahulu, Malaysia kini dilaporkan dalam proses membatalkan award akhir AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) yang diberikan oleh Stampa dalam kes yang dibawa oleh lapan individu mendakwa sebagai waris Sultan Sulu.

Pada 6 Jun lalu, Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan keputusan membenarkan Malaysia mencabar anugerah yang diberikan pada 25 Mei 2020 oleh Stampa dalam kes yang difailkan oleh lapan individu itu.

Stampa telah memberikan anugerah akhir sebanyak AS$14.9 bilion kepada kumpulan itu dan Malaysia terpaksa menggunakan semua remedi undang-undang bagi membatalkannya di mahkamah Sepanyol, Perancis, Luxembourg serta Belanda.

Malaysia melakar satu lagi kejayaan apabila Mahkamah Rayuan The Hague di Belanda pada 27 Jun menolak permohonan kumpulan Sulu untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan anugerah akhir tersebut di negara itu.

Dalam usaha mereka untuk menguatkuasakan anugerah akhir itu, kumpulan Sulu dilaporkan cuba menyita aset syarikat petroleum Malaysia iaitu Petronas di Luxembourg dan Belanda selain menyasarkan aset diplomatik negara di Perancis (termasuk kedutaan).

Pada 2019, kumpulan itu dilaporkan telah memulakan tindakan perundangan di Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan bagi tanah di Sabah yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya