Sudah masa saya perlahankan karier lakonan - Utusan Malaysia

Sudah masa saya perlahankan karier lakonan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAH pertama sebagai pengarah sudah bermula apabila naskhah sulung, Banglo Seksyen 12 bakal memasuki pawagam seluruh negara hari ini. Bagi Intan Ladyana, ini adalah bayi seni sulungnya dalam dunia pengarahan.

Bagaimanapun, sudah ada khabar angin yang tersebar kononnya Intan sudah mula memperlahankan karier lakonannya. Apatah lagi, Intan sekarang ini sedang hamil anak kedua. Sudah pasti masanya akan lebih terhad.

Hits mendapatkan Intan, bercerita tentang filem pertamanya dan adakah benar dakwaan yang hangat diperkatakan itu? Intan, sila jawab.

H: Tahniah di atas pelancaran filem pertama arahan Intan. Tiga tahun juga peram ya. Gementar tak bila filem pertama, Banglo Seksyen 12 akhirnya akan ditayangkan? Terutama menantikan reaksi peminat filem tempatan.

I: Mestilah saya gementar kan, filem pertama arahan saya pula itu. Dalam pada masa sama, saya bersyukur sebab akhirnya Banglo Seksyen 12 akan ditayangkan. Ini adalah hasil titik peluh saya dan kru produksi.

Proses untuk dapatkan dana daripada  Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pun lama, sejak 2018. Jadi memang penantian itu berbaloilah apabila filem ini bakal menemui penonton semua. 

H: Apa cabaran utama bergelar pengarah? Intan juga berlakon sama dalam filem ini? Memang melepaskan gian ke berlakon sambil mengarah ini?

I: Bukan lepas gian pun, tetapi berjimat. Dana yang kita dapat tak besar mana, jadi memang banyak aspek kita terpaksa jimat. Kita memang ada cuba tawarkan watak kepada pelakon lain tetapi itulah, bajet lari.

Mahu tak mahu saya kena jadi bidan terjun. Dari segi pengarah, saya newbie. Jadi memang kena banyak belajar. Tambahan pula, kami terpaksa menangguhkan penggambaran dua kali ketika pandemik. 

Nasib baik pengarah utama, Dharma Nasution banyak bantu dan tunjuk ajar, jadi proses itu jadi mudah. Saya harap filem ini akan dapat sambutan dan berjaya mengutip pulangan yang berbaloi.

H: Ada percanggahan tak dari segi pengarahan? Yelah kan dua orang yang berbeza pengalaman, visi. Ada kesukaran untuk mencipta keserasian dalam aspek pengarahan itu?

I: Sejujurnya tidak ada sebab kami sudah berbincang ketika proses pre-produksi. Babak macam mana semua kami sudah bentang idea dan bincangkan bersama. Tak mahu kelam kabut di set penggambaran.

Saya pertama kali mengarah dan Dharma juga masih baru ketika itu, jadi ini adalah proses belajar untuk kali berdua. Kami juga dapatkan pendapat pengarah fotografi, kru-kru lain yang terlibat juga.

H: Kenapa genre seram thriller? Adakah Intan yakin dengan genre tersebut sebagai naskhah pertama?

I: Ya, filem seram sebenarnya tak lapuk dek zaman. Sentiasa ada permintaan untuk naskhah genre seram dan thriller. Saya sendiri penggemar filem-filem seram. Jadi bila pilih novel untuk diadaptasi, saya pilih naskhah seram.

Tambahan pula, filem seram ini ada penggemar tersendiri. Saya cuba suntik elemen sendiri dan daripada novel, kami rombak skrip serta jalan cerita lebih kurang 60 peratus. Semasa penggambaran pun, kami tiga kali rombak skrip.

H: Apabila langkah pertama bergelar pengarah sudah bermula, adakah ini bermaksud Itan akan mula memperlahankan karier sebagai pelakon? Sekarang pun sedang sarat mengandung anak kedua kan, jadi adakah itu bermakna Intan akan lebih fokus di belakang tabir?

I: Boleh dikatakan begitu.  Bila masuk nak kedua ini, saya fikir mungkin masa untuk ke depan kamera itu akan terbatas. Mungkin pada masa akan datang, saya memang memperlahankan karier lakonan. 

Kalau rindu, bolehlah selit menyelit. Berlakon dan mengarah, kedua-duanya ada kelebihan serta kelemahan. Pengarahan sebenarnya lebih mencabar. Mungkin sebab saya pun baharu dan masih kurang pengalaman.

H: Bagaimana kehidupan Intan sekarang? Ada perbezaan ke hamil anak pertama dan kedua?

I: Memasuki usia kandungan enam bulan ini, Alhamdulillah semuanya baik-baik sahaja. Cuma awal kehamilan hari itu, alahan lebih sedikit dari yang pertama. Lebih memenatkan lah. Tambahan pula, kakak dia jenis tak berenggang.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya