Suami isteri seleweng zakat MAIPk dibebaskan dengan bon mahkamah - Utusan Malaysia

Suami isteri seleweng zakat MAIPk dibebaskan dengan bon mahkamah

PASANGAN suami isteri yang ditahan reman bagi membantu siasatan kes penyelewengan kutipan zakat MAIPk dibebaskan dengan jaminan bon RM50,000 setiap seorang di Kompleks Mahkamah Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pasangan suami isteri yang ditahan reman sejak 6 Januari lalu bagi membantu siasatan kes penyelewengan kutipan zakat Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIPk) sebanyak RM9.62 juta, dibebaskan dengan jaminan bon mahkamah hari ini.

Majistret Farah Nabihah Muhamad membenarkan permohonan polis untuk membebaskan lelaki berusia 50 tahun dan isteri berusia 53 tahun itu dengan jaminan bon sebanyak RM50,000 setiap seorang.

Mahkamah mengeluarkan perintah itu mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah di Mahkamah Majistret di sini hari.

Terdahulu, pasangan suami isteri itu tiba di Kompleks Mahkamah Ipoh sekitar pukul 9.30 pagi dengan tangan bergari dan diiringi anggota polis serta peguam ke kamar mahkamah bagi permohonan bon jaminan.

Menerusi laporan media pada 4 Januari lalu, polis menjalankan siasatan ke atas sebuah syarikat yang dilantik sebagai ejen kutipan zakat MAIPk selepas disyaki menyeleweng kutipan zakat sebanyak RM9.62 juta.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, siasatan dijalankan selepas syarikat itu dipercayai gagal mendepositkan zakat bermula Mac hingga September 2023.

Jelasnya, kes tersebut antara empat kes jenayah pecah amanah berkait kutipan zakat bagi tahun lepas di mana dua kes direkodkan di Selangor diikuti satu kes di Terengganu dan Perak.

Berikutan pendedahan itu, dua suspek yang juga suami isteri ditahan di Kuala Lumpur pada pukul 12.35 tengah hari pada Jumaat lalu untuk siasatan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua suspek yang bertindak sebagai ejen kutipan zakat itu direman selama tujuh hari sebelum disambung tiga hari lagi yang berakhir hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN