IPOH: Pasangan suami isteri ditahan bagi membantu siasatan penyelewengan kutipan zakat Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIPk) sebanyak RM9.62 juta.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, kedua-dua suspek yang berperanan sebagai ejen kutipan zakat itu diberkas di Kuala Lumpur pada pukul 12.35 tengah hari, hari ini.
“Peranan suami isteri ini hanya sebagai ejen kutipan zakat dan mereka bukanlah kakitangan mana-mana pusat zakat di negara ini.
“Kedua-dua suspek ini baru ditangkap dan siasatan pun sedang dijalankan. Sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan kemudian,” katanya di sini hari ini.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dilaporkan berkata, sebuah syarikat yang dilantik sebagai ejen kutipan zakat MAIPk disiasat selepas disyaki menyeleweng kutipan zakat sebanyak RM9.62 juta.
Katanya, siasatan dijalankan selepas syarikat berkenaan dipercayai gagal mendepositkan zakat bermula Mac hingga September 2023.
“Kes tersebut antara empat kes jenayah pecah amanah berkait kutipan zakat bagi tahun lepas di mana dua kes direkodkan di Selangor diikuti satu kes masing-masing di Terengganu dan Perak.
“Kes di Perak mencatatkan nilai kerugian tertinggi iaitu RM9,629,682 selepas disyaki gagal mendepositkan wang kutipan zakat dan kes disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN