PETALING JAYA: Bayaran bagi Fasa 1 Sumbangan Tunai Rahmah (STR) tahun 2024 akan mula disalurkan kepada penerimanya mulai hari ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, bayaran maksimum bagi isi rumah pada tahun ini ditingkatkan lebih daripada 66 peratus iaitu RM500 berbanding RM300 pada tahu lalu.
“Saya akur bahawa kesulitan kenaikan harga barang merupakan masalah utama yang membelenggu sebilangan besar rakyat. Hatta, saya berharap peningkatan bayaran yang ketara ini dapat meringankan beban kalian.
“Kerajaan Madani beriltizam untuk memberi rakyat sejagat kehidupan yang bermaruah. Kunci kestabilan negara terletak kepada kesaksamaan dan keadilan sosial seperti yang didamba dalam kerangka Ekonomi Madani.
“Saya berharap penerima-penerima STR Fasa 1 ini dapat memanfaatkan sebaiknya bantuan ini,” katanya menerusi laman sosial Facebook miliknya hari ini.
Pembayaran STR Fasa 1 akan meringankan beban 8.2 juta penerima di seluruh negara bermula hari ini melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat.
Ia akan dibuat kepada penerima berdaftar dalam pangkalan data STR mengikut kategori dan kelayakan masing-masing.
Sebelum ini, menurut Kementerian Kewangan, kerajaan telah menaikan bayaran STR Fasa 1 kepada RM500 bagi penerima kategori isi rumah berpendapatan RM2,500 dan ke bawah, berbanding bayaran maksimum RM300 tahun sebelumnya.
Bagi isi rumah berpendapatan RM2,501 hingga RM5,000 pula, penerima layak menerima RM100 hingga RM300.
Sementara itu, bagi penerima kategori warga emas tiada pasangan dan golongan bujang masing-masing akan menerima RM150 dan RM100. – UTUSAN