KLANG: Taktik satu sindiket menjadikan parkir sebuah pusat beli-belah di daerah ini sebagai stor menyimpan barangan elektrik disyaki tiruan tumpas apabila diserbu pihak berkuasa hari ini.
Lokasi itu dipercayai turut dijadikan tempat menguruskan barangan berjenama berkenaan yang ditawarkan untuk dijual menerusi urus niaga secara atas talian.
Perkara itu bagaimanapun terbongkar selepas diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Bukit Aman, kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.
Sumber KPDN berkata, operasi itu dilakukan hasil risikan pihaknya selama tiga bulan dan aduan wakil cap dagang mengenai aktiviti mencurigakan tersebut.
“Pemeriksaan lanjut kemudian menemui pelbagai barangan elektrik berjenama disyaki tiruan dan melanggari peruntukan Akta Cap Dagangan 2019.
“Sitaan dilakukan ke atas semua barang rampasan dan akan disimpan di bawah pengurusan ekshibit KPDN Selangor sepanjang proses siasatan,” katanya ketika ditemui pada operasi itu.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kawasan parkir di tingkat sembilan bangunan itu dipenuhi kotak berisi pelbagai barangan terutama alat perkakasan.
Jelas sumber itu, anggaran sitaan dan nilai ramapasan keseluruhan akan dimaklumkan dalam sidang akhbar esok yang memaklumkan potensi kesalahan melibatkan cap dagangan berdaftar dan boleh disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019.
“Sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,00 bagi setiap satu barang atau penjara maksimum tahun atau kedua duanya sekali bagi individu.
“Bagi syarikat pula, hukuman denda tidak lebih RM15,000 bagi setiap satu barangan,” katanya. – UTUSAN