KUALA LUMPUR: Status representasi ketiga Datin Seri Rosmah Mansor untuk menggugurkan 12 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM7.09 juta dan lima kesalahan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), akan dimaklumkan kepada Mahkamah Tinggi di sini pada 1 Mac ini.
Hakim K. Muniandy menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan representasi berkenaan masih dalam peringkat penelitian Jabatan Peguam Negara (AGC).
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memberitahu, pihaknya perlu mengambil tindakan lanjut termasuk mendapatkan pernyataan daripada beberapa individu bagi melengkapkan siasatan sebelum memutuskan representasi berkenaan.
“Pernyataan daripada beberapa individu penting bagi membolehkan pihak pendakwaan tampil dengan keputusan representasi yang lengkap dan menyeluruh,” ujar beliau.
Representasi itu merupakan yang ketiga dihantar oleh isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 12 Disember 2023 selepas representasi pertama dan kedua yang dikemukakan masing-masing pada 3 Mei dan 18 Ogos 2023 masih belum diputuskan oleh AGC.
Terdahulu, peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin memohon penangguhan prosiding atas alasan Rosmah tidak sihat dan sijil cuti sakit telah diserahkan kepada mahkamah.
Hari ini dan esok sepatutnya ditetapkan untuk menyambung penghujahan berhubung permohonan Rosmah bagi menggugurkan 17 pertuduhan pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan cukai yang dihadapinya.
Pada prosiding lalu, pasukan pembelaan berhujah, pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi oleh Rosmah adalah cacat dan mengelirukan kerana tidak mendedahkan siri transaksi atau pergerakan wang ke dalam akaun beliau.
Peguam Amer Hamzah Arshad berhujah, 12 pertuduhan pengubahan wang haram itu juga kabur kerana tidak menyatakan apa aktiviti haram atau kesalahan predikat daripada mana hasil dikatakan telah diperoleh.
Peguam bela menyatakan, pertuduhan dirangka dengan cara yang cukup `aneh’ sehingga menyukarkan anak guamnya menyediakan pembelaan.
Hujah Amer Hamzah, butiran dalam pertuduhan ke-13 hingga ke-17 (gagal isytihar pendapatan) mengelirukan kerana telah menggabungkan kesalahan pengubahan wang haram.
Rosmah dibicarakan atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN antara 2013 dan 2018.
Perbicaraan tersebut telah bermula pada 24 Ogos 2023 dan dua orang saksi telah dipanggil memberi keterangan.
Menurut ucapan pembukaan perbicaraan tersebut, Rosmah telah mendepositkan puluhan keping cek dan wang tunai berjumlah RM7,097,750 ke dalam akaun Affin Bank miliknya walaupun beliau tidak mempunyai sebarang pekerjaan ketika itu.
Cek dan wang tersebut didepositkan dengan bantuan Pengurus Kediaman Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, Roslan Sohari.
Wang lebih RM7 juta itu didakwa digunakan oleh Rosmah untuk membayar bil-bil telefon dan kad kredit miliknya dan ahli-ahli keluarganya.
Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.
Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018.
Rosmah didakwa gagal melakukannya seperti mana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.
Hukuman bagi kesalahan membabitkan pengubahan wang haram dan elak cukai itu ialah penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, atau yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – UTUSAN