‘Stalker’ jurugambar bebas tuduhan, diperintah ke Hospital Bahagia - Utusan Malaysia

‘Stalker’ jurugambar bebas tuduhan, diperintah ke Hospital Bahagia

Hospital Bahagia
MOHAMAD Safiq Rosli diiringi polis dibawa ke Mahkamah Majistret bagi menghadapi pertuduhannya di Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang jurugambar wanita akhirnya boleh kembali ke kehidupannya yang asal sebelum lapan tahun lalu selepas Mahkamah Majistret hari ini memerintahkan Mohamad Safiq Rosli ditahan dalam tahanan selamat dekat Hospital Bahagia di Ulu Kinta, Perak.

Perintah tersebut diputuskan Majistret Sasha Diana Sabtu selepas berpuas hati dengan hujahan pendakwaan dan pembelaan dalam prosiding di akhir kes pembelaan.

Beliau dalam penghakimannya memutuskan Mohamad Safiq Rosli,38 melakukan kesalahan kerana mengganggu Acacia Mardiana Daud, 32, namun membebaskannya daripada pertuduhan di bawah Seksyen 347 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) atas masalah mental dihadapinya.

“Bagaimanapun merujuk kepada Seksyen 348 KTJ (berdasarkan kesihatan mental), tertuduh diperintah ditahan dalam tahanan selamat di Hospital Bahagia sehingga mendapat perintah (titah) daripada Sultan Selangor,” katanya.

Menurutnya, perunding acara separuh masa itu berada dalam keadaan akal yang tidak waras ketika melakukan hendap terhadap mangsa yang tidak disedarinya sebagai satu kesalahan jenayah.

Ini kerana sebelum itu, saksi pendakwaan Pakar Perunding Forensik Psikiatri, Hospital Bahagia, Dr. Ian Lloyd Anthony dalam kesaksiannya pada prosiding tersebut menyatakan tertuduh mengalami skizofrenia.

“Semasa kejadian seperti pada 15, 17 dan 21 Julai 2023, beliau (Mohamad Safiq) berada dalam keadaan mental yang tidak waras dan tidak sedar serta tidak mampu (menilai) perbuatan tersebut adalah salah dan bertentangan dengan undang-undang.

 

Percaya sedang ‘bercinta’

“Berkaitan dengan prosiding kes ini, tertuduh percaya yang mangsa jatuh cinta dengannya. Ilusi itu berlaku sejak lapan tahun menyebabkan pemikiran tertuduh tertumpu (centered) kepada mangsa,” jelasnya.

Beliau menambah, disebabkan itu tertuduh merasakan menjadi tanggungjawabnya untuk mengetahui segala maklumat tentang mangsa termasuk pekerjaan dan kehidupan peribadi kerana percaya mereka berada dalam hubungan romantik.

Dr. Ian Lloyd turut memaklumkan tertuduh layak untuk dibicarakan dan membela diri selepas Mohamad Safiq membuat pemeriksaan kesihatan mentalnya pada 8 November lalu di hospital berkenaan.

Terdahulu, pada prosiding di akhir kes pendakwaan, Majistret mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie sebelum memerintahkan Mohamad Safiq membela diri.

Sementara itu, Acacia dalam kenyataan impak yang dibacakan oleh peguam bagi pihaknya, Jason Wee sebelum Majistret membuat keputusan memohon mahkamah mengambil kira masalah trauma dihadapinya serta kebimbangan sama apabila tertuduh dibebaskan selepas menjalani hukumannya.

 

Berkelakuan tidak senonoh

“Saya pernah melihat alat sulitnya dengan mata sendiri dalam skrin (telefon). Saya pernah dengar nafas ghairahnya yang beronani berdekatan skrin berhampiran muka saya. Saya juga pernah melihat dia bercakap tidak senonoh mengenai kemaluan dan mahu berkelakuan sedemikian kepada saya.

“Dia gunakan duit untuk pergi ke United Kingdom (UK) dan menghabiskan masa berbulan-bulan di sana hanya untuk cari saya. Dia licik boleh melepasi pihak berkuasa di UK.

“Saya merayu jauhkan dia daripada saya selama-lamanya. Pastikan dia tak boleh lagi ganggu saya. Jika dia bebas nanti, saya tahu dia akan terus ganggu dan itu akan menjadi memusnahkan hidup saya,” luahnya.

Berdasarkan pertuduhan pertama kali pada Ogos lalu, Mohamad Safiq didakwa menggunakan akaun ‘@sopert99’ secara berulang mengganggu mangsa, Acacia Mardiana Daud, 31, di akaun ‘@ShaFoShizzle’.

Kesalahan dilakukan pada 15 Julai hingga 21 Julai 2023 dan dia menjadi individu pertama dituduh di bawah Seksyen 507A Kanun Keseksaan (KK) yang mula dikuatkuasakan pindaannya pada tahun lalu.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinas Abbas serta Analia Kamaruddin dan tertuduh diwakili peguam, Fithril Hakim Ab. Jalil. Seramai dua orang saksi termasuk pengadu memberikan keterangan pada prosiding peringkat pendakwaan dan seorang saksi di peringkat pembelaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya