PETALING JAYA : Siasatan telah dimulakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu membabitkan penggunaan wang sebanyak RM700 juta yang dibelanjakan bagi tujuan promosi dan publisiti untuk menghebahkan pencapaian kerajaan dalam tempoh 2020 hingga 2022 ketika pentadbiran dua Perdana Menteri sebelum ini.
Satu sumber berkata, siasatan awal SPRM menjurus kepada bagaimana wang tersebut dibelanjakan dan adakah prosesnya mengikut tatacara yang betul.
Sumber berkata, SPRM telah ke Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi proses siasatan dan mengumpulkan maklumat serta mendapatkan dokumen berkaitan hari ini.
Jelasnya, siasatan dilakukan SPRM berdasarkan maklumat awal sebagaimana dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran pada November tahun lalu.
“Prabakan ketika itu meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah keseluruhan yang dibelanjakan kerajaan untuk kerja promosi dan publisiti dalam menghebahkan pencapaian kerajaan menerusi semua platform media massa termasuk media cetak, media digital serta televisyen sepanjang tahun sejak 2020 hingga kini.
“Susulan kenyataan Anwar tersebut, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil turut membuat catatan di media sosial X baru-baru ini bahawa rakyat berhak mengetahui bagaimana RM700 juta telah dibelanjakan,” kata sumber itu.
Kata sumber, SPRM mengambil tindakan proaktif menjalankan siasatan sebagaimana pendedahan mengenai penggunaan wang RM700 juta baru-baru ini.
Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan siasatan tersebut tetapi enggan mendedahkan butiran siasatan.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan polis menyerahkan siasatan berhubung dakwaan salah penyalahgunaan dana RM700 juta oleh dua kerajaan terdahulu untuk iklan dan publisiti kepada SPRN
Mengesahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah ketika dihubungi, berkata, satu laporan telah diterima pihaknya berkaitan dakwaan salah guna dana itu.
Kata beliau, berdasarkan keterangan pengadu yang telah diambil, laporan itu akan dirujuk juga kepada SPRM untuk siasatsn lanjut. – UTUSAN