PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) komited dan bertekad meneruskan usaha pencegahan dan operasi bagi menghapuskan gejala rasuah, salah guna kuasa serta penyelewengan rasuah.
SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan, merujuk kepada Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2023 yang diumumkan oleh Transparency International-Malaysia (TI-Malaysia) hari ini menunjukkan Malaysia telah berjaya memperbaiki kedudukannya.
“Menurut TI-Malaysia, antara sebab-sebab yang menyumbang kepada peningkatan skor adalah kerana siasatan, tangkapan serta sabitan kes-kes berprofil tinggi SPRM sepanjang tempoh dua tahun lalu.
“Sehubungan itu, SPRM menyeru semua pihak agar meneruskan kerjasama serta memainkan peranan masing-masing di samping mempunyai iltizam politik untuk menambah baik strategi pencegahan dan pengurusan tatakelola baik demi mencapai hasrat kerajaan meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-25 dalam pengukuran CPI menjelang 2033,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, kedudukan Malaysia dalam CPI Transparency International dilaporkan meningkat sebanyak tiga mata kepada 50 dalam 2023 daripada 47 dalam 2022,
Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan berkata, antara faktor yang mungkin menyebabkan lonjakan itu termasuk tindakan SPRM dan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mendakwa ahli politik berprofil tinggi selain daripada kebebasan badan kehakiman.
Satu daripada punca peningkatan dalam kedudukan CPI ialah kebebasan berterusan badan kehakiman di negara ini.
Ia juga mungkin berpunca daripada perwakilan demokratik, penyertaan dan peralihan kuasa. Malaysia meningkat ke kedudukan ke-40 di peringkat global dalam Indeks Demokrasi oleh ‘Economic Intelligence Unit’ pada 2022, memperoleh skor 7.3 daripada 10. – UTUSAN