SPM: 29,044 calon di Kedah, lapan duduki peperiksaan di hospital

SPM: 29,044 calon di Kedah, lapan duduki peperiksaan di hospital

SEJUMLAH 41,548 calon yang mendudukiSTPM tahun 2023 bakal mengetahui keputusan peperiksaan itu pada 23 Julai ini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERLUN: Seramai 29,044 calon menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di negeri ini, bermula hari ini sehingga 7 Mac depan.

Pengarah Pendidikan Kedah, Ismail Othman berkata, jumlah tersebut membabitkan calon sekolah kerajaan; sekolah bantuan kerajaan; sekolah agama bantuan kerajaan dan sekolah di bawah agensi kerajaan selain Kementerian Pendidikan.

Menurutnya, calon-calon juga membabitkan mereka yang berada di sekolah menengah agama negeri; sekolah swasta; sekolah persendirian dan sekolah menengah agama rakyat. 

“Terdapat 264 pusat peperiksaan di sekolah dan sebanyak 15 pusat turut disediakan di hospital seluruh Kedah membabitkan calon yang terlibat kemalangan dan penyakit kronik berpanjangan yang menyebabkan mereka terpaksa menduduki SPM di hospital.

“Setakat ini dua calon menduduki SPM di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), empat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan masing-masing seorang di Hospital Metro Sungai Petani dan Hospital Pendang. 

“Kita juga mempunyai calon berkeperluan pendidikan khas iaitu seramai 83 orang terdiri daripada pelbagai kategori termasuk masalah pembelajaran dan pendengaran,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau pusat peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Hitam, di sini hari ini.

Tambah Ismail, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Keat Hwa di Alor Setar mencatatkan calon paling ramai iaitu sebanyak 373 calon, sementara Sekolah Integriti Sungai Petani mempunyai calon paling sedikit iaitu tujuh calon.

Beliau pada masa sama turut menasihatkan calon SPM supaya menjaga diri masing-masing sepanjang tempoh peperiksaan bagi mengelakkan mereka terjejas peluang untuk mendudukinya.

“Saya ingin nasihatkan semua calon supaya menjaga diri kerana tempoh ini adalah sangat penting. Sekiranya apa-apa berlaku kepada calon ia akan menjejaskan peluang mereka untuk menduduki peperiksaan.

“Saya juga ingin menyeru kepada ibu bapa supaya memantau anak-anak mereka bagi memastikan calon berada dalam kawalan mereka. Guru-guru juga harus mengambil berat terhadap semua calon,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya