Skandal dana publisiti: Seorang bekas PM dipanggil minggu ini - Azam Baki

Skandal dana publisiti: Seorang bekas PM dipanggil minggu ini – Azam Baki

AZAM Baki (kanan) hadir Simposium Tatakelola Baik Nasional 2024 yang dirasmikan Perdana Menteri, di Sepang. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil seorang bekas Perdana Menteri minggu ini bagi memberi keterangan berhubung skandal dana publisiti kerajaan bernilai RM700 juta bagi tempoh 2020 hingga 2022.

Tanpa menamakan siapa bekas Perdana Menteri itu, Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, tokoh kenamaan itu akan dipanggil dalam masa terdekat.

“Beliau akan dipanggil secepat mungkin, paling terdekat minggu ini atau selewat-lewatnya minggu depan,” katanya ketika ditemui pada Simposium Tatakelola Baik Nasional 2024 di sini, hari ini.

Ditanya sama ada SPRM akan memanggil kedua-dua bekas Perdana Menteri bagi membantu siasatan itu, Azam berkata, beliau mengesahkan hanya seorang dahulu akan dipanggil.

“Terpulang kepada SPRM, salah seorang daripada mereka akan dipanggil. Saya rasa hanya seorang akan dipanggil, setakat ini, hanya seorang,” katanya.

Ditanya juga berapa jumlah individu sudah dipanggil bagi memberi keterangan berhubung isu itu, Azam berkata, tidak kurang empat individu akan dipanggil dan mungkin juga daripada bekas kakitangan pejabat Perdana Menteri.

Beliau juga mengesahkan sudah memanggil beberapa pihak pengurusan syarikat yang terbabit dalam skandal dana publisiti kerajaan itu.

“Siasatan dibuat bagi mengenal pasti bagaimana dana publisiti bernilai RM700 juta itu dibelanjakan.

“Kami tidak begitu mempersoalkan bagaimana dana itu diputuskan dan diluluskan tetapi bagaimana ia (dana) dibelanjakan dan syarikat mana yang dapat,” katanya.

Katanya, ia (siasatan) adalah prosedur biasa untuk mengetahui bagaimana dana publisiti itu dibelanjakan.

Azam berkata, sekiranya wujud dakwaan dan isu maka, ia sudah menjadi tugas SPRM untuk melakukan siasatan.

Pada 2 Januari lalu, SPRM mengesahkan telah memulakan siasatan berhubung isu membabitkan penggunaan wang sebanyak RM700 juta yang dibelanjakan bagi tujuan promosi dan publisiti untuk menghebahkan pencapaian kerajaan ketika itu.

Siasatan awal SPRM mendapati dana RM200 juta telah diperuntukkan kepada sembilan sya­­rikat dan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bagi tujuan promosi dan publisiti dua pro­gram di bawah pentadbiran dua Perdana Menteri sebelum ini.

Sembilan syarikat dan NGO berkonsepkan Islam itu dipercayai te­lah dilantik oleh sebuah agensi di bawah JPM bagi melaksanakan dua program di bawah dua pentadbiran sebelum ini.

Secara keseluruhan, 14 syarikat dan sebuah pertubuhan bu­kan kerajaan (NGO) yang dikesan menerima dana antara RM5 juta sehingga RM50 juta menerusi dana publisiti itu. – UTUSAN

habis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya