Situasi banjir di Terengganu tidak banyak berubah - Utusan Malaysia

Situasi banjir di Terengganu tidak banyak berubah

BEBERAPA remaja meredah banjir di Kampung Belimbing, Hulu Dungun, Dungun, semalam. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Situasi banjir di Terengganu tidak banyak berubah dengan mangsa bertambah sedikit kepada 1,378 orang daripada 400 keluarga setakat pukul 8 pagi ini berbanding 1,300 mangsa daripada 386 keluarga pada pukul 4 petang semalam.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, ketika ini, hanya Dungun satu-satunya daerah yang masih terjejas akibat banjir.

Menurutnya, terdapat penambahan dua lagi pusat pemindahan sementara (PPS) menjadikan jumlah PPS yang beroperasi ketika ini 14 lokasi.

Katanya, mangsa banjir di Dewan Serbaguna Kampung Shukor kekal tidak berubah seramai 226 orang daripada 61 keluarga, Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja (258 orang, 99 keluarga), Masjid Jamek Kampung Jongok Batu (258 orang, 69 keluarga) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Jengai (170 orang, 52 keluarga).

“Selain itu, Balai Raya Rantau Panjang (107 orang, 27 keluarga), Dewan Orang Ramai Kampung Minda (44 orang, 11 keluarga), Balairaya Kampung Dendang (32 orang, enam keluarga) dan Dewan Serbaguna Kampung Paya Kemudi (71 orang, 18 keluarga).

“PPS lain ialah Dewan Orang Ramai Tepus (40 orang, 14 keluarga), Masjid Kampung Padang Ping (46 orang, 11 keluarga), Dewan Serbaguna Bukit Merah (sembilan orang, dua keluarga), SMK Padang Pulut (34 orang, enam keluarga), Balai Raya Kampung Pinang Baru (14 orang, tiga keluarga) dan Dewan Masjid Serdang (69 orang, 21 keluarga),” katanya ketika dihubungi di sini, pagi ini.

Tinjauan mendapati, kerja-kerja pembersihan juga giat dijalankan di beberapa lokasi lain yang telah surut dengan penglibatan badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sukarelawan tempatan.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my/aras-air pula melaporkan tiada sungai yang melepasi paras bahaya setakat pukul 8 pagi ini.

Bagaimanapun, Sungai Dungun masih melepasi paras amaran manakala empat sungai di tiga daerah pula masih melepasi paras berjaga-jaga.

Empat sungai itu ialah Sungai Nerus di Kampung Bukit (Setiu), Sungai Nerus di Kampung Jeram (Kuala Nerus) serta Sungai Terengganu di Kampung Dura dan Sungai Tersat di Kampung Sekayu (Hulu Terengganu). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN