JASIN: Sistem saraan perkhidmatan awam masih di peringkat kajian terperinci dan belum dimuktamadkan, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, setakat ini belum ada pengumuman khusus berhubung perkara itu dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Katanya, semua pihak diminta tidak terburu-buru mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung cadangan pemansuhan skim saraan oleh kerajaan.
“Kita beri peluang kepada pihak berwajib untuk memberikan penjelasan, insya-Allah kerana hari ini (semalam) Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berikan penjelasan berhubung skim baharu ini.
“Sama ada bebanan hutang negara termasuk implikasi terhadap kewangan memberi kesan daripada segi perbelanjaan di peringkat Persekutuan.
“Jika hendak memberi sebarang komen itu biarlah adil dengan mendapat penjelasan penuh daripada pihak berwajib dan jangan bersikap terburu-buru,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA di Kampung Pulai, Serkam di sini, semalam.
Fahmi menyampaikan sumbangan kepada bekas penerbit rancangan, Norazlin Mohamad, 52, yang menghidap masalah buah pinggang dan diabetes sehingga menyebabkan kaki kanannya terpaksa dipotong.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberitahu, Kabinet bersetuju perjawatan bagi penjawat awam baharu berstatus tetap tetapi tidak berpencen.
Menurutnya, satu pengumuman mengenai tempoh pelaksanaannya akan dibuat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam tidak lama lagi.
Tambah Fahmi, skim baharu itu perlu diluluskan di Parlimen sebelum dikuatkuasakan kerajaan.
“Beri sedikit ruang untuk kita mendapatkan maklumat penuh. Isunya ialah kita kadang kala berita disensasikan tanpa maklumat penuh dan hal ini menjadi fitnah, ini yang sedikit merisaukan saya,” katanya. – UTUSAN