Siri nombor pendaftaran GOLD dibuka bidaan Khamis ini

Siri nombor pendaftaran GOLD dibuka bidaan Khamis ini

ANTHONY Loke pada sidang akhbar penawaran nombor pendaftaran istimewa siri GOLD sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan ke-50 di Kementerian Pengankutan, Putrajaya. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tauke kedai emas dan peminat barangan kemas kini boleh berkira-kira mendapatkan nombor pendaftaran istimewa (NPI) iaitu siri GOLD yang ditawarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Siri nombor pendaftaran GOLD itu akan mula dibuka secara bidaan menerusi Sistem JPJeBid bermula 1 hingga 5 Februari ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, siri nombor pendaftaran itu ditawarkan sempena sambutan jubli emas Hari Wilayah Persekutuan ke-50 yang bakal disambut Khamis ini.

Beliau berkata, pihaknya juga berharap hasil kutipan jualan nombor pendaftaran GOLD itu dapat melepasi rekod RM35 juta yang diraih menerusi siri FF sebelum ini.

“Saya rasa semua orang nak gold (emas), jadi ini adalah nombor khasnya. Selain GOLD 1 dan sebagainya, saya difahamkan kombinasi GOLD 999 (emas bar) dan GOLD 916 juga bakal jadi tumpuan.

“Saya menyeru kepada pemilik kedai emas juga boleh bida sebagai strategi pemasaran mereka. Sekarang ini juga musim perayaan Tahun Baharu Cina dan masyarakat Cina juga suka beli emas.

“Pada masa sama, kita juga nak harapkan tahun ini Sukan Olimpik tahun ini kita (Malaysia) dapat gold (emas). Macam-macam intepretasi kita boleh buat (dengan kombinasi GOLD),” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya, hasil jualan NPI siri GOLD ini akan dimanfaatkan kementerian bagi melaksanakan pelbagai inisiatif seperti bantuan lesen memandu, bantuan topi keledar dan subsidi FlySISWA.

Loke berkata, keputusan bidaan siri GOLD ini akan diumumkan pada 6 Februari ini dan ia tertakluk kepada terma dan syarat sedia ada yang ditetapkan melalui Sistem JPJeBid.

Menurutnya, harga bidaan dalam JPJeBid adalah mengikut harga minima yang ditetapkan iaitu kategori nombor bernilai utama adalah RM20,000, nombor menarik (RM3,000), nombor popular (RM800) dan nombor biasa RM300.

“Mana-mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida mestilah didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh dua belas bulan dari tarikh surat keputusan bidaan rasmi dikeluarkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya