Sindiket pecah rumah mewah lebih RM1.9 juta tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket pecah rumah mewah lebih RM1.9 juta tumpas

Pecah rumah
BARANGAN berjenama mewah yang dirampas oleh Task Force dari Bahagian D4 Polis Diraja Malaysia Bukit Aman dan Ibu Pejabat Kontinjen Selangor dalam satu sindiket pecah rumah melibatkan warga Amerika Latin. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kegiatan haram sindiket pecah rumah dianggotai dua lelaki Columbia yang menyamar sebagai penghantar barang selama tiga bulan tumpas selepas diberkas polis bersama empat individu lain, minggu lalu.

Kumpulan penjenayah yang didalangi warga tempatan itu menyasarkan kediaman mewah tidak berpenghuni di sekitar Selangor dan Johor dengan nilai kerugian RM1.9 juta.

Taktik enam suspek berusia 45 hingga 62 tahun itu bagaimanapun terbongkar selepas dicekup dalam beberapa siri operasi di sekitar Lembah Klang pada 3 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, penahanan kesemua individu termasuk dua wanita itu dilakukan Bahagian Risikan, Operasi dan Rekod Jenayah (D4) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Menurutnya, pihaknya merampas empat kenderaan yang dipercayai digunakan suspek untuk melakukan jenayah pecah rumah.

“Pemeriksaan turut menemukan enam nombor pendaftaran disyaki palsu, pelbagai peralatan pecah rumah dan beberapa barangan termasuk pakaian milik suspek.

“Selain itu, polis antaranya merampas 64 jam tangan berjenama, lapan beg pakaian berjenama, 79 barangan kemas, 29 bentuk batu kristal, 146 keping mata wang asing dan wang tunai RM1,821,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.

Beliau menambah, siasatan mendapati suspek wanita tempatan merekrut dua lelaki Columbia yang memasuki negara ini menggunakan visa pelawat.

“Sindiket menyasarkan rumah mewah dengan menyamar sebagai penghantar barangan serta bungkusan dan memecah masuk jika kosong atau tiada penghuni. Hasil barangan dicuri kemudian akan diserahkan kepada pembeli yang diatur oleh suspek di pusat beli belah di Lembah Klang,” jelasnya.

Katanya lagi, polis berjaya menyelesaikan 18 kes masing-masing sembilan di Selangor dan Johor.

“Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya