Sindiket judi online raih keuntungan RM2.5j sebulan tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket judi online raih keuntungan RM2.5j sebulan tumpas

KHAW Kok Chin (kanan) menunjukkan antara peralatan yang dirampas daripada sindiket judi online dalam sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, George Town, Pulau Pinang. - Pix: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Dua sindiket perjudian online yang mengaut keuntungan kira-kira RM2.5 juta sebulan tumpas dalam dua serbuan berasingan di Queensbay, Bayan Baru dan Jelutong, di sini semalam.

Kedua-dua premis yang merupakan premis perniagaan di Jelutong serta kondominum mewah di Queensbay itu disyaki dijadikan pusat promosi dan pusat panggilan judi online yang mensasarkan pelanggan dari Australia; Bangladesh serta warga tempatan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, dalam operasi berasingan itu, polis turut menahan 13 individu terdiri daripada lapan lelaki dan lima wanita yang kesemua warga tempatan berusia 21 hingga 33 tahun yang bekerja dengan sindiket tersebut.

Katanya, dalam operasi pertama kira-kira pukul 10.45 pagi semalam, polis menyerbu sebuah premis perniagaan di Jelutong dan menahan sembilan individu iaitu empat lelaki dan lima wanita berusia 23 hingga 32 tahun yang menjalankan promosi pelbagai permainan judi online.

”Seorang daripada mereka iaitu wanita berusia 32 tahun disyaki menjadi dalang utama sindiket ini yang mana dia disyaki bertindak merekrut pekerja-pekerja untuk mempromosi kegiatan judi online kepada pelanggan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

KHAW Kok Chin menunjukkan antara kereta yang dirampas daripada sindiket judi online dalam sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, George Town, Pulau Pinang. – Pix: IQBAL HAMDAN

Menurutnya, sindiket itu menggunakan aplikasi seperti WeChat dan Facebook untuk mempromosi kegiatan mereka dan h0asil siasatan mendapati premis tersebut telah beroperasi selama setahun dan mampu menjana keuntungan sehingga RM1 juta sebulan.

“Kesemua tangkapan tidak mempunyai rekod jenayah serta negatif dadah, mereka bekerja secara sepenuh masa dengan bayaran gaji RM2,000 hingga RM6,000 di premis yang disewa dengan harga RM7,000 sebulan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Kok Chin berkata, menerusi serbuan kedua kira-kira pukul 1.30 tengah hari di sebuah kondominum mewah di Queensbay, empat lelaki berusia 21 hingga 33 tahun ditahan kerana disyaki menjalankan operasi pusat panggilan judi online.

”Sindiket ini mampu meraih keuntungan RM1.5 juta sebulan dan mereka menggunakan aplikasi seperti WeChat untuk mempromosi pelbagai permainan judi dengan menggunakan komputer dan telefon bimbit.

”Sindiket ini mensasarkan pelanggan perjudian di Australia dan pekerja sindiket ini memperoleh gaji sehingga RM5,000 sebulan yang mana mereka berkerja sepenuh masa di sini.

”Mereka menyewa premis ini dengan harga RM5,000 sebulan dan aktif sejak lima bulan lalu, polis percaya ada individu lain yang menjadi dalang sindiket ini,” katanya.

Tambahnya, dalam dua serbuan itu polis merampas pelbagai peralatan komputer, 32 buah telefon bimbit, modem internet, buku catatan, kamera litar tertutup (CCTV) dan sembilan buah kereta yang kesemuanya bernilai lebih RM700,000.

“Kesemua 13 individu yang ditahan kini direman bagi membantu siasatan.Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) dan 4(1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 iaitu menguruskan serta mempromosi kegiatan perjudian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya