PETALING JAYA : Satu sindiket pengedaran dadah di ibu negara tumpas selepas 10 individu ditahan di kawasan Jalan Syed Putra, dekat sini pada Rabu lalu.
Serbuan berkenaan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju dibantu IPD Brickfields.
Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintenden, Norhisham Mustapar berkata, sebanyak 432 gram pil erimin dirampas selain 5,420 gram ganja.Turut dirampas iaitu 254 gram methamphetamine dan 326 gram heroin dengan nilai keseluruhan RM 136,596.
“Hasil saringan awal air kencing mendapati enam suspek positif dadah manakala empat suspek lagi negatif.
“Pihak polis juga merampas beberapa aset sindiket untuk tujuan sitaan iaitu wang tunai RM 17,600, sebuah kereta perodua Axia, motosikal Y15ZR dengan nilai keseluruhan rampasan dadah RM81,196,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, siasatan masih menjalankan untuk mengetahui punca bekalan dadah itu diperolehi.
“Suspek direman selama enam hari sehingga 30 Januari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Jumlah keseluruhan rampasan dadah itu mampu menampung seramai 2,500 penagih dadah dalam satu masa,” jelasnya.
Beliau juga berharap orang awam dapat menyalurkan maklumat berhubung aktiviti yang menyalahi undang-undang supaya tindakan dapat diambil ke atas perkara ini. – UTUSAN