Sikap wanita suka berahsia makan diri - Utusan Malaysia

Sikap wanita suka berahsia makan diri

UTUSAN/PIX SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASIH ramai dalam kalangan wanita tidak mengetahui hak-hak mereka menjadikan urusan di mahkamah lewat dan memakan masa. 

Peguam syariah, Datuk Julita Ilhani Abdul Jabbar, 56 yang membabitkan diri lebih 30 tahun dalam bidang perundangan menjelaskan antara hak yang tidak mereka ketahui antaranya membabitkan hak berhubung selepas berlaku penceraian seperti tuntutan harta sepencarian, nafkah edah, hak tempat tinggal dan hak jagaan anak. 

Lantaran kurang ilmu, segelintir wanita lebih gemar merujuk kepada individu tidak berautoriti seperti jiran tetangga dan kawan-kawan berbanding mencari peguam yang mahir dalam bidang. 

“Kebanyakan kes yang saya kendalikan mendapati wanita ini sifatnya suka berahsia. 

“Jadi, apabila berlaku masalah rumah tangga mereka tidak mempunyai saksi untuk ditampilkan,” katanya kepada Seri. 

Julita berkata, lebih malang lagi kebanyakan wanita berdepan masalah rumah tangga juga kurang mendapat sokongan orang sekeliling seperti ahli keluarga terdekat. 

“Ada masalah mereka tidak menceritakan kepada sesiapa. Situasi berkenaan boleh menyebabkan masalah rumah tangga yang sedia berlaku, berlarutan hingga terlalu lama,” katanya. 

Antara hak lain yang perlu wanita ketahui membabitkan urusan dalam perkahwinan ialah isu mut’ah iaitu saguhati yang wajib diberikan dari suami kepada bekas isteri sebagai tanda penghargaan kepada wanita tersebut untuk memulakan hidup baharu. 

Pemilik  firma guaman, Tetuan Julita Ilhani & Co yang beribu pejabat di Kuala Lumpur ini bagaimanapun tidak menafikan ada dakwaan terdapat hakim yang tidak memihak golongan wanita sekali gus kurang menyelami masalah dihadapi. 

“Ini juga menjadi masalah tuntutan selepas penceraian mengambil masa terlalu lama sehingga nasib bekas isteri dan anak-anak terabai. 

“Banyak kes nafkah anak-anak sudah tertangguh terlalu lama dan suami culas membayarnya. 

“Pada saya, hakim harus menggunakan kebijaksanaan dan ‘tidak terlalu mengikut prosedur’, sebaliknya berusaha memudahkan proses tersebut. Letakkan diri mereka sendiri di tempat wanita itu. 

“Adakala, proses yang sangat renyah di mahkamah syariah seperti isteri perlu mengemukakan bukti bagi sebarang tuntutan. Sedangkan kita tahu kalau wanita tampil ke mahkamah, sudah tentu suaminya culas menjalankan tanggungjawab. 

“Bertahun-tahun nafkah tak dapat, akhirnya anak-anak menjadi mangsa sehingga tiada perbelanjaan disebabkan proses yang terlalu rumit ini,” katanya berterus-terang. 

KENA PETAH 

Ujar Julita, kerjaya sebagai peguam menuntut pengetahuan am yang tinggi. 

Kerjayanya itu sebetulnya hasil dorongan dan galakan daripada ibu dan bapanya yang merupakan bekas Timbalan Menteri Besar Pahang. 

“Peguam kena banyak membaca dan mesti petah berbicara,” katanya. 

Julita bermula sebagai peguambela dan mengendalikan kes-kes jenayah. Sedikit demi sedikit beliau belajar bidang undang-undang lain. 

Bekas alumni Kolej Tunku Kurshiah (TKC) ini menjelaskan untuk menjadi peguam, sikap paling penting adalah jujur, amanah dan berpendirian teguh dalam menjalankan tugas. 

“Lebih-lebih lagi apabila kita berusaha menegakkan undang-undang dan hak individu yang teraniaya walaupun tidak disukai pelanggan atau pihak ketiga. 

“Sebagai peguam, saya menjalankan tanggungjawab dengan menasihati pelanggan mengenai pilihan terbaik. 

“Bukannya mencurah api, sebaliknya kita perlu menjadi pemudah cara kepada anak guam. Saya menasihati mereka jangan sesekali buat keputusan ketika marah,” ujarnya. 

Mengulas mengenai sikap suka membantu orang, katanya, kes dan sikap manusia itu sendiri yang membuatkan dirinya lebih bersemangat untuk membantu dan membela terutamanya nasib wanita. 

SATU SEKOLAH DENGAN AGONG 

Anak kedua daripada enam beradik ini, pernah menuntut di Sekolah Kebangsaan (SK) Ahmad, Pekan, Pahang sehingga darjah tiga. 

Ketika itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah merupakan senior di sekolahnya. 

“Zaman itu, keluarga kerabat diraja memang bersekolah biasa dan bercampur dengan kami rakyat marhaen. Dari kecil, memang baginda bercampur dengan kawan-kawan lain. Masa itu, saya junior kepada Sultan Abdullah. 

“Kemudian, saya bertukar ke Sekolah Rendah Assunta Convent, Kuantan kerana ikut ayah berpindah tempat kerja di Kuantan,” katanya. 

Sejak di bangku sekolah, beliau terlibat dalam pelbagai persatuan sehingga membentuk sikap kepemimpinan dalam dirinya. 

Selepas habis belajar, timbul hasrat untuk berbakti kepada masyarakat kerana menyedari, sudah tiba masanya untuk memberi semula kepada masyarakat. 

Wanita ini pernah memegang jawatan sebagai Ketua Puteri UMNO Bahagian Kuantan sejak mula-mula penubuhan Puteri UMNO. 

Kini, beliau memegang jawatan sebagai Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuantan. 

Ditanya bagaimana meraih gelaran Datuk, katanya, pengiktirafan itu diberikan oleh bekas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob atas usahanya membantu masyarakat.

BERBAKTI PADA IBU, AYAH

JODOH, ajal maut semuanya di tangan tuhan. Tidak pernah sesekali Julita Ilhani mempersoalkan kenapa sehingga sekarang dirinya belum bertemu jodoh. 

Anak kepada bekas Timbalan Menteri Besar Pahang turut berbangga kerana dapat menjaga dan berbakti kepada kedua-dua ibu dan bapanya di Kampung Warisan, Setiawangsa. 

“Ibu saya menghidap penyakit buah pinggang dan perlu menjalani rawatan dialisis. 

“Saya bergilir-gilir jaga bersama adik di rumah. Ayah, alhamdulillah masih sihat dan boleh membawa kereta sendiri,” kongsinya yang mempunyai susur galur dengan Orang Besar Berlapan Istana Pahang. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya