BUTTERWORTH: Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan serta tohmahan yang dilemparkan terhadapnya dalam satu laman Facebook, kelmarin.
Menurut Shamsul Iskandar, hantaran yang mengaitkan beliau terlibat dengan kegiatan penyelewengan dana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) adalah tidak berasas sama sekali dan berunsur fitnah semata-mata.
“Hantaran itu telah membuat tuduhan yang tidak benar terhadap saya dan Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan tentunya ia tidak lain daripada bertujuan untuk menjatuhkan maruah saya.
“Jadi, selepas mendapat nasihat daripada peguam, saya tampil untuk membuat laporan polis dan meminta pihak polis untuk menyiasat kes ini di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan.
“Pada masa yang sama, saya juga telah membuat laporan dalam talian mengenai isu ini kepada SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) dan dimaklumkan perkara ini sedang dalam siasatan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas membuat laporan polis mengenai dakwaan berkenaan di Balai Polis Seberang Jaya, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Shamsul Iskandar berkata, meskipun laporan polis dibuat di Seberang Jaya, namun siasatan lanjut akan dijalankan oleh ibu pejabat polis daerah (IPD) di Putrajaya kerana kes tersebut direkodkan di situ.
Ditanya mengenai kemungkinan tindakan saman akan diambil terhadap pemilik akaun Facebook itu selepas ini, Shamsul Iskandar memberitahu, satu notis tuntutan berkaitan perkara itu juga akan dihantar selepas ini.
“Bagi saya, surat peguam (notis tuntutan) ini sudah memadai dan saya juga sebagai pengamal undang-undang mengambil tindakan itu berdasarkan undang-undang sedia ada.
“Saya nasihatkan kepada pembangkang terutamanya supaya lebih bertanggungjawab dan kalau ada bukti apa-apa, sila kemukakan kepada pihak berkaitan.
“Kalau ada kes jenayah, boleh lapor kepada polis; kes penyelewengan, rasuah dan sebagainya lapor kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), bukannya membuat ‘posting’ (hantaran) yang ‘meresahkan’ di laman-laman sosial seperti Facebook dan sebagainya,” ujar beliau. – UTUSAN