PETALING JAYA: Penyanyi, Tomok, bersyukur akhirnya berkesempatan menunaikan ibadah umrah buat pertama kali di Tanah Suci, Mekah.
Tomok, atau nama sebenarnya, Shah Indrawan, 40, berlepas ke Lapangan Terbang Jeddah petang ini bersama tiga sahabat yang lain.
“Insya-Allah, saya akan berada di Tanah Suci untuk menunaikan umrah selama 10 hari. Sekarang sudah berada di Lapangan Terbang Kuala Lumpur dan menunggu untuk berlepas.
“Perasaan saya teruja kerana ini merupakan pertama kali saya menunaikan umrah.
“Lebih istimewa, saya dapat mengerjakan ibadah ini bersama kawan-kawan terdekat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurut penyanyi Arjuna itu lagi, dia sudah merancang untuk menunaikan umrah sejak setahun yang lalu.
“Perancangan untuk menunaikan umrah sebenarnya sudah bermula sejak tahun lalu.
“Dalam tempoh setahun ini jugalah, saya perlahan-lahan menabung dan kumpul duit.
“Saya harap agar keluarga, peminat dan semua orang dapat mendoakan agar urusan ibadah saya dipermudahkan,” katanya.