DUNGUN: Sesi persekolahan penggal ketiga
di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Raja, Hulu Dungun yang bermula hari ini, digantikan dengan aktiviti gotong-royong membersihkan bangunan sekolah yang terjejas banjir, baru-baru ini.
Operasi pembersihan kawasan sekolah yang bermula sejak pukul 10 pagi itu disertai 120 individu termasuk 30 anggota bomba, polis, beberapa agensi kerajaan, syarikat swasta dan penduduk kampung.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Hassan ‘As’ari berkata, meskipun sekolah itu telah dibersihkan sebelum ini, namun masih ada kesan lumpur di sekitar bangunan sekolah itu terutamanya kawasan asrama dan bilik darjah yang memerlukan kerja-kerja pembersihan secara maksima.
“Difahamkan, sekolah ini dinaiki air sebanyak lima kali sejak hujung November lalu dan kesannya memang ketara dapat dilihat di sekitar kawasan sekolah ini.
“Kita terpanggil untuk meringankan beban warga sekolah ini supaya 57 murid di sekolah ini dapat memulakan sesi pembelajaran seperti biasa secepatnya,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Pasca Banjir Perdana bersama Komuniti di sekolah itu, di sini, hari ini.
Tinjauan di sekolah itu mendapati, murid sekolah itu bersemangat ke sekolah dengan berpakaian sukan meskipun rata-rata keluarga murid tersebut terjejas banjir.
Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Dungun, Yusma@Abdul Mubin Yusof@Mustapar berkata, sesi persekolahan di semua sekolah di daerah ini berjalan lancar termasuk empat sekolah lain yang terjejas banjir iaitu SK Minda Talong, SK Tepus dan SK Kampung Wa.
“Kesemua sekolah lain telah dibersihkan sebelum sesi persekolahan bermula hari ini dan kita berterima kasih kepada pihak yang berganding bahu membantu membersihkan sekolah terlibat banjir,” katanya. – UTUSAN