KUALA LANGAT: Seorang lelaki maut selepas tertimbus dalam tanah runtuh di kawasan kuari di Jalan SP 2, Bandar Saujana Putra di sini, petang tadi.
Selain mangsa tempatan berusia 30-an itu, seorang lagi lelaki bagaimanapun terselamat dalam kejadian tersebut.
Pengarah Bomba Selangor, Wan Md. Razali Wan Ismail berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 4.32 petang.
Katanya, sepasukan sembilan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Telok Panglima Garang dikerah dalam operasi menyelamat berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati berlaku tanah runtuh sedalam lebih satu meter di kuari tersebut. Kejadian itu mengakibatkan dua mangsa tertimbus dengan seorang daripadanya ditemukan maut pukul 6.42 petang,” katanya hari ini.
Tambah Wan Md. Razali, mangsa yang meninggal dunia dihantar ke hospital berdekatan bagi tindakan lanjut, manakala seorang lagi mangsa berusia 30-an pula berjaya dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan bomba. – UTUSAN