PUTRAJAYA: Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang terkesan akibat banjir atau dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) beroperasi seperti biasa bermula hari ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, secara keseluruhan, sebanyak 157 institusi pendidikan terlibat dengan bencana banjir membabitkan 133 sekolah rendah, 23 sekolah menengah dan sebuah pusat permata sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula sejak 11 November sehingga semalam.
Jelasnya, ia melibatkan lapan buah negeri iaitu Kelantan, Pahang, Terengganu, Selangor, Sabah, Sarawak, Johor dan Perak.
“Sebanyak 207 institusi pendidikan dijadikan PPS iaitu 173 sekolah rendah, 33 sekolah menengah dan sebuah kolej vokasional di 10 buah negeri.
“Sehingga pukul 4 petang semalam, dashboard pelaporan banjir KPM menunjukkan sebanyak sembilan buah sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah masih terlibat banjir iaitu di Kelantan, Pahang dan Sarawak, manakala, dua buah sekolah rendah masih dijadikan PPS di Kelantan dan Pahang,” katanya menerusi sidang akhbar khas berhubung situasi terkini institusi pendidikan KPM terkesan bencana banjir di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, berdasarkan laporan awal diterima, kerosakan akibat banjir yang dialami oleh institusi pendidikan di bawah KPM dianggarkan melebihi RM1 juta.
Menurut beliau, ia melibatkan kerosakan perabot, pagar, fizikal bangunan dan aset yang tidak boleh dipindahkan bagi negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang.
“Anggaran kerosakan yang dialami oleh institusi pendidikan sedang dikumpulkan oleh pihak PPD (pejabat pendidikan daerah) dan JPN (jabatan pendidikan negeri).
“JPN dan PPD mengambil langkah-langkah bersesuaian bagi memastikan sekolah boleh beroperasi seperti memindahkan stok atau lebihan perabot atau buku teks dari sekolah dalam daerah yang sama ke sekolah yang memerlukan,” ujarnya.
Tambahnya lagi, bagi murid KPM yang dilaporkan lemas di Kelantan, tuntutan takaful sebanyak RM5,500 seorang akan disalurkan kepada keluarga mangsa.
Selain itu, katanya, sekolah-sekolah yang terkesan banjir dan dijadikan PPS akan diberikan bantuan sebanyak RM2,000 daripada Yayasan Guru Tun Hussein Onn.
“Sukarelawan daripada KPM juga telah turun ke sekolah untuk membantu membersihkan sekolah sebagai persiapan untuk pembukaan sekolah.
“Smart Support Team (SST) juga turut membantu murid yang menjadi mangsa di PPS menangani masalah trauma dan menstabilkan emosi berdasarkan surat siaran KPM Bilangan 8 Tahun 2016: Garis Panduan Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran Akibat Bencana,” katanya.
Ditanya berhubung persediaan menghadapi peperiksaan awam, Fadhlina berkata, seramai 4,058 calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) akan menduduki peperiksaan bermula hari ini.
“Setakat pukul 2 petang semalam, tiada calon yang berada di PPS akibat banjir,” katanya.
Manakala, bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang akan bermula 8 Januari depan, Fadhlina berkata, seramai 395,870 calon SPM 2023 akan menduduki peperiksaan dan hanya seorang calon masih berada di PPS di Johor.
“Sehingga semalam, tiada calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia 2023 (STPM) yang berada di PPS dan peperiksaan STPM akan dikelolakan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) bermula 9 Januari,” katanya. – UTUSAN