‘Semua orang lapar di Gaza ’

‘Semua orang lapar di Gaza ’

KANAK-kanak Palestin menyeberangi lopak air di kem sementara yang menempatkan penduduk kehilangan tempat tinggal, di Rafah di selatan Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bimbang terhadap penduduk yang terperangkap dalam perang iaitu pada waktu Israel terus melakukan pengeboman ke atas bandar selatan Gaza iaitu di Deir al Balah, Khan Younis dan Rafah.
Agensi bantuan PBB untuk Palestin (UNRWA) dan Program Makanan Sedunia PBB (WFP) mendedahkan ancaman kebuluran dan penyakit di kem-kem pelarian meningkat selain berpuluh-puluh ribu orang melarikan diri dari kawasan utara dan tengah kawasan semenanjung itu.
WFP dalam catatan aplikasi X berkata, ramai penduduk Gaza yang tidak makan sepanjang hari.
“Semua orang di Gaza lapar! Melewatkan makan adalah perkara biasa dan setiap hari terpaksa mencari rezeki kerana terdesak.
 “Orang ramai sering pergi sepanjang hari dan malam tanpa makan. Orang dewasa lapar supaya kanak-kanak boleh makan,”,” kata WFP dalam catatan di aplikasi X.
Menurut UNRWA, lebih sejuta orang kini mencari keselamatan di bandar selatan Rafah yang sudah sesak, dengan ratusan ribu tidur di tempat terbuka dengan pakaian atau bahan yang tidak mencukupi untuk mengelakkan kesejukan.
KANAK-KANAK KURANG ZAT
Jelas agensi itu, kanak-kanak yang kurang zat mempunyai risiko tertentu, manakala separuh daripada penduduk Gaza kelaparan.
Menyuarakan kebimbangan itu, agensi kesihatan PBB, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) memberi amaran tentang risiko akan datang iaitu wabak penyakit berjangkit.
Sejak pertengahan Oktober, terdapat 179,000 kes jangkitan pernafasan akut, 136,400 kes cirit-birit dalam kalangan bawah lima tahun, 55,400 kes kudis dan kutu dan 4,600 kes jaundis, lapor pertubuhan itu.
UNRWA berkata, dalam perkembangan terkini, sekurang-kurangnya 315 orang terbunuh ketika mencari tempat perlindungan mereka sejak kitaran terbaru konflik bermula dengan sekurang-kurangnya 1,148 lagi cedera.
Terdapat juga sekitar 212 insiden termasuk 60 serangan langsung yang menjejaskan premis agensi secara keseluruhan.
Angka terbaru kakitangan UNRWA yang terkorban kini berjumlah 142.
Sejak 7 Oktober lalu, seramai 1.9 juta penduduk Gaza iaitu 85 peratus daripada penduduk kehilangan tempat tinggal.
LEBIH 22,000 MAUT
Sejak serangan pengganas pimpinan Hamas di selatan Israel pada 7 Oktober lalu, kira-kira 1,200 maut dan 240 lagi dijadikan tebusan manakala pertempuran di Semenanjung Gaza dan serangan dari udara, darat dan laut oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) membunuh lebih daripada 22,000 orang, terutamanya wanita dan kanak-kanak, menurut pegawai kesihatan tempatan.
Angka IDF dari 30 Disember menunjukkan bahawa 168 tentera Israel terbunuh sejak permulaan operasi darat di Gaza dan 955 cedera.
Kementerian kesihatan Gaza juga dilaporkan menyatakan lebih 200 rakyat Palestin telah terbunuh sejak Isnin lalu dengan 338 cedera.
WHO mendedahkan, 7,000 orang dilaporkan hilang atau tertimbus di bawah runtuhan.
SERANG INSTITUSI KESIHATAN
Laporan itu juga menyatakan bahawa 600 orang terbunuh dalam hampir 300 serangan terhadap institusi penjagaan kesihatan sejak 7 Oktober yang telah merosakkan 26 hospital dan 38 ambulans.
Daripada 1.93 juta orang yang kehilangan tempat tinggal di Gaza, kira-kira 52,000 wanita hamil melahirkan kira-kira 180 bayi setiap hari, menurut kemas kini WHO.
 Ia juga memperincikan bahawa 1,100 pesakit memerlukan dialisis buah pinggang, 71,000 menghidap diabetes dan 225,000 memerlukan rawatan untuk tekanan darah tinggi.
Agensi penyelarasan bantuan PBB (OCHA) juga menyatakan bahawa pihak berkuasa kesihatan Gaza kini berjaya menyambung semula beberapa perkhidmatan hospital di utara Gaza.-AGENSI
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya