Sembunyi wang RM126,000, tukang masak denda RM10,000

Sembunyi wang RM126,000, tukang masak denda RM10,000

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang tukang masak didenda RM10,000 atau penjara 12 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menyembunyikan wang tunai RM126,000 milik seorang wanita di dalam akaunnya.

Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman itu terhadap Ng Kah Lun, 20, dan memerintahkannya dipenjara setahun jika gagal membayarnya.

Pemuda itu mengaku menyembunyikan wang milik wanita berkenaan dengan cara memindahkannya ke dalam akaun bank HSBC yang didaftarkan atas namanya (tertuduh).

Kesalahan dilakukan di antara 21 Mac 2023 dan 22 Mac 2023 di alamat Perbadanan Usahawan Nasional Berhad, Plaza Sentral, Jalan Stesen KL Sentral di sini.

Kah Lun didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Fakta kes menyatakan, wanita itu yang juga pengadu kes membuat laporan polis selepas ditipu oleh seorang individu yang menyamar sebagai pegawai Touch N Go pada 12 Mac 2023 sehingga menyebabkannya memasukkan wang sebanyak RM258,000 ke dalam beberapa akaun.

Salah satu daripadanya melibatkan akaun bank HSBC milik Kah Lun sebanyak RM126,000.

Hasil siasatan mendapati, lelaki itu yang bekerja sebagai tukang masak mengaku akaun HSBC itu merupakan akaun kegunaan harian serta mendakwa kad ATM miliknya hilang dan tidak dimaklumkan kepada pihak bank mahupun membuat laporan polis.

Terdahulu, lelaki itu yang tidak diwakili peguam memohon denda tanpa dikenakan hukuman penjara kerana dibesarkan di rumah anak yatim.

Tertuduh berkata, dia meminjamkan kad ATM kepada seorang rakan dan tidak mengetahui kad itu disalahguna oleh rakannya.

“Saya tidak tahu kad ATM tidak boleh dipinjamkan kepada orang lain. Kad itu telah dipulangkan kepada saya namun bila saya pergi bank, kad itu sudah tidak boleh digunakan,” ujarnya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd. Razak memohon hukuman setimpal kerana kes itu melibatkan kerugian yang besar manakala wang terlibat tidak dapat dipulangkan kepada pengadu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN