KUANTAN: Isu banjir yang setiap tahun menghantui penduduk di Sungai Lembing di sini, perlu diselesaikan segera oleh pihak berwajib bukan hanya berjanji menyelesaikan permasalahan tersebut setiap kali musim pilihan raya.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, Seri Paduka mahu melihat Sungai Lembing yang merupakan bandar bersejarah diselenggara dengan baik dan tidak ketinggalan dari aspek pembangunan.
“Takkan setiap bulan kena cuci rumah sahaja atau dibaiki semula. Yang tinggal sini semua sudah berusia. Saya amat bersimpati dan akan terus meninjau kawasan ini kerana Sungai Lembing ini begitu dekat di hati saya.
“Harap dapat diselesaikan (isu banjir) dengan segera. Jangan tunggu PRU (pilihan raya umum) sahaja nak janji. Sempurnakan sekarang,” titah baginda ketika mencemar duli menyantuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Lembing, hari ini.
Al-Sultan Abdullah bertitah, hampir RM100 juta peruntukan diluluskan oleh kerajaan Persekutuan bagi membina tebatan banjir di sini.
Seri Paduka bagaimanapun menegaskan, tiada guna ada tebatan banjir jika air sungai masih lagi melimpah dan banjir berulang.
“Tahun demi tahun, bulan demi bulan, apabila hujan lebat bukan sahaja menunggu musim tengkujuh tetapi ada kala ketika musim lain juga jika hujan lebat, banjir berlaku di sini.
“Mungkin sudah sampai masanya kena kaji, tengok keadaan sungai. Kaji tengok infrastruktur yang ada di sini. Jalan nak sampai ke sini sudah pun mendap, sungai mungkin dah cetek. Sudah sampai masanya untuk kaji secara lebih serius dan terperinci,” titah Seri Paduka.
Al-Sultan Abdullah turut berharap projek tebatan banjir yang diluluskan kerajaan Persekutuan segera dilaksanakan dengan baik dan lebih berkesan.
“Walaupun tebatan banjir ini diadakan, masih terdapat sedikit-sebanyak kerosakan. Di sini kena fokus dengan sebaik mungkin.
“Dalam pada itu saya masih merasai Sungai Kenau ini perlu didalamkan. Percayalah, tidak guna ada tebatan tapi air melimpah sampai ke bandar.
“Rumah di tepi sungai perlu ditingkatkan, buat dua lapis (tingkat). Jangan kita benar (luluskan) pembinaan rumah baharu satu lapis sahaja. Elok dicadangkan buat dua lapis,” titah baginda.
Seri Paduka turut menjadikan daerah Pekan dekat sini sebagai contoh projek mendalamkan sungai yang dilihat berjaya mengurangkan kejadian banjir berlaku di daerah itu. – UTUSAN