CALIFORNIA: Penularan video ‘spilling tea’ antara Selena Gomez, Taylor Swift dan Keleigh Sperry yang kononnya sedang bergosip tentang Timothée Chalamet dan Kylie Jenner dinafikan sumber terdekat penyanyi Who Says tersebut.
Dalam video itu, Selena dikatakan meluahkan perasaan tidak puas hati kepada dua teman baiknya apabila Kylie tidak membenarkan penyanyi Who Says itu mengambil gambar dengan Timothée.
Bagaimanapun menurut sumber, Selena sebenarnya tidak pernah dilihat mendekati pasangan tersebut malah tidak bercakap tentang sebarang kejadian mengaitkan dua nama besar Hollywood tersebut.
“Dia memang ada berbual dengan Taylor dan Keleigh tetapi sama sekali tidak merujuk apa-apa tentang Timothée atau Kylie,” kata sumber itu seperti yang dilaporkan People.com.
Spekulasi yang bertebaran pantas di media sosial itu berlaku ketika siaran langsung Anugerah Golden Globe ke-81 semalam.
Selena yang tercalon dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik (Muzikal atau Komedi) Televisyen menerusi drama Only Murders in the Building itu bagaimanapun menutup spekulasi itu dengam memuat naik gambar bersama teman lelakinya, Benny Blanco di Instagram.
Malah, pelakon yang pernah mendedahkan menghidap penyakit Lupus itu juga meletakkan kapsyen I Won yang didakwa merujuk kepada kekalahannya kepada aktres, Ayo Edibiri.-UTUSAN