TAIPING: Seksyen 11 Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dari Beruas ke Taiping Selatan yang membabitkan laluan 35 kilometer dijangka dibuka kepada pengguna sebelum Hari Raya Puasa April ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Nadzrol Fadzilah Ahmad berkata, pihaknya mempunyai keyakinan yang tinggi Seksyen 11 itu akan dibuka pada Hari Raya Puasa berbanding saranan agar ia dibuka lebih awal iaitu sebelum Tahun Baharu Cina bulan depan.
Katanya, seksyen tersebut yang telah siap 98 peratus pembinaannya kini memasuki tahap pemeriksaan dan pemantau sebelum ia dibuka kepada pengguna.
“Untuk seksyen ini dibuka kepada pengguna sebelum Tahun Baharu Cina, kita memang ada usaha ke arah itu, untuk keperluan rakyat, untuk elak kesesakkan tapi semuanya tertakluk pada faktor keselamatan yang menjadi keutamaan kami.
“Kita cuba buka pada Tahun Baharu Cina tapi tak boleh, LLM kena pastikan lebuh raya ini selamat, baru boleh buka kepada umum.
“Bulan Januari ini tiada ada apa-apa berlaku, agak sukar untuk seksyen ini dibuka tapi kita cuba buka pada suku pertama tahun ini, sebelum Hari Raya Puasa. Saya rasa itu kita ada keyakinan yang tinggi untuk seksyen ini dibuka pada masa itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena lawatan kerja Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad yang meninjau pelaksanaan projek Seksyen 11 WCE di sini hari ini.
Sementara itu, Saarani berkata, jika jajaran seksyen tersebut dibuka kepada pengguna sebelum sambutan Tahun Baharu Cina bulan depan, itu lebih bagus.
“Kalau siap sebelum Raya Cina lagi bagus, ini untuk mengelakkan trafik yang panjang semasa perayaan tersebut,” katanya.
Menurut Saarani, WCE sangat penting kerana bakal menjadi laluan strategik bagi memperluas jaringan pengangkutan, bukan sahaja antara pekan dan daerah, tetapi juga perhubungan Perak dengan pusat-pusat pertumbuhan ekonomi, bermula dari Pelabuhan Klang, Pelabuhan Lumut dan Pelabuhan Pulau Pinang.
Katanya, laluan itu juga penting kerana menjadi pemangkin kepada perancangan Perak dalam memacu pertumbuhan sosioekonomi di sepanjang jajaran pantai barat selain mengubah landskap pelancongan Perak dengan memudahkan akses ke destinasi-destinasi strategik seiring dengan kempen Tahun Melawat Perak 2024.
“Apabila dibuka kelak, pengguna jalan raya akan mempunyai pilihan laluan alternatif kepada jalan sedia ada untuk ke kawasan pantai barat di Perak seperti Teluk Intan, Manjung, Pulau Pangkor, Beruas, Trong, Changkat Jering dan Taiping,” katanya. – UTUSAN